Ini Barulah Realiti Kisah Seorang Tua Di Kaki Gunung


Jika dilihat pada gambar, ia pasti menimbulkan rasa iri hati ramai penduduk di China yang begitu mengimpikan kedamaian dalam menjalani kehidupan seharian.

Gambar yang disiarkan sebuah akhbar negara itu menunjukkan pesara Tan Dagen menghabiskan masa sehariannya menjaga haiwan dan tanaman di Kampung Huangyan berhampiran bandar Chongqing di barat daya China.

Walaupun tinggal bersendirian selepas semua penduduk di kampung itu berpindah ke bandar, dia begitu gembira dengan kedamaian yang dirasainya di desa pedalaman itu.

Selepas kematian isterinya, bekas tukang kayu itu tinggal bersendirian, dengan hanya biri-biri menjadi teman.


Tan yang kini berusia lewat 70-an bagaimanapun berkata, dia lebih memilih untuk menghabiskan sisa hidupnya di kampung itu.

Katanya: “Saya sudah tinggal di sini sepanjang hidup saya. Saya tidak tahu bagaimana untuk hidup di luar sana.”

Dia hidup berdikari dengan menyelenggara haiwan ternakan dan tanamannya.

Dulu, bersama isteri, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan, Tan banyak membuat perabot sendiri dan menjualnya kepada penduduk kampung.

Tetapi kini, bukan dia saja yang tinggal bersendirian di rumah, malah Tan menjadi satu-satunya penduduk di seluruh kampung itu.


Menurut lelaki itu, pembangunan di kawasan bandar memisahkan dia dan anaknya.

Walaupun mulanya kekok dan sunyi selepas isterinya meninggal dunia, Tan berkata, dia kini sudah biasa hidup seorang diri.

Dia juga menyedari, bukan dia satu-satunya orang yang berdepan dengan keadaan itu di China.

Sebagai penghuni tunggal di Huangyan, Tan bebas mengembala kambing, menanam sayuran dan buah-buahan sesuatu yang dia tidak dapat lakukan jika menerima pelawaan anaknya untuk tinggal di bandar.

Sumber: myMetro