#Islam: Beri Keutamaan Kepada Hak Allah Dalam Semua Perkara

KITA mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan yang menyarankan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah menghentikan sebarang mesyuarat yang dijalankan apabila masuk waktu solat. Ini bagi memberi ruang kepada kakitangan beragama Islam bersembahyang.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajudin Jab pada 27 Januari lalu. Katanya, sebagai umat Islam, tuntutan untuk mengerjakan ibadat itu adalah penting dan perlu dilakukan tepat pada waktunya.

Sebenarnya lima hari sebelum itu, satu lagi khabar gembira bagi orang beriman adalah semua anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang yang membuat rondaan diarah singgah di masjid berhampiran mereka untuk menunaikan solat berjemaah dengan kariah setempat sebagai usaha mendekatkan pasukan ke­selamatan itu dengan masyarakat.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Datuk Jamaludin Kudin berkata, pendekatan terbaharu tersebut bukan sahaja bagi memastikan setiap anggota beragama Islam yang terlibat tidak ‘ponteng’ solat lima waktu bahkan mampu mengeratkan lagi hubungan dengan orang awam.

Sememangnya kedua-dua tindakan tersebut bertepatan de­ngan kehendak Islam dan ini mesti disokong sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 
“...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuh­an.” - (al-Maidah: 2)
Solat adalah kewajipan ke atas setiap Muslim yang mukalaf tidak kira di mana mereka berada dan walau setinggi mana pun pangkat serta kedudukan mereka. Jika Nabi Muhammad SAW yang maksum dan dijamin masuk syurga pun mengimamkan solat serta bengkak kaki baginda kerana mendirikan solat malam, apakah alasan kita untuk tidak solat?

Jangan kerana kita seorang yang berpangkat dan berjawatan tinggi kita lupa akan tugas dan tanggungjawab terhadap Allah. Ingatlah hidup kita di muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. (rujuk ayat 56 surah al-Dzariyat).

Yang cantiknya, kedua-dua pihak yang terlibat dalam inisiatif ini mewakili sektor penting dalam pembangunan manusia. Yang pertama, sektor pendidikan dan kedua, sektor penguatkuasaan undang-undang.

Jumlah guru di seluruh negara kira-kira 420,000 (statistik Kementerian Pendidikan setakat 31 Disember 2014) dengan bilangan sekolah rendah dan menengah kira-kira 492,000 buah. Bayangkan, natijahnya jika ia berjaya dilaksanakan. Sudah tentu surau di sekolah akan penuh apabila masuk waktu solat dan ini memberi contoh yang baik kepada murid-murid Islam agar mereka juga solat pada awal waktu.

PDRM pula mempunyai kira-kira 123,000 pegawai dan anggota (statistik Januari 2015). Yakinlah, apabila individu itu menjaga solatnya, akan terpancar dalam peribadi dan tingkah lakunya. Dengan itu, imej PDRM bertambah baik kerana pegawai dan anggotanya menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan bertanggungjawab.

Itu adalah janji Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” - (al-Ankabut: 45)
Diharap kedua-dua langkah yang dipelopori ini akan diperluaskan di semua kementerian dan agensi kerajaan lain. Demikian juga dengan sektor swasta. Sesungguhnya memiliki pekerja yang bertanggungjawab dan amanah antara nikmat dan aset kepada majikan yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Lagipun, ibadat solat ini bukan lama, tidak lebih 15 minit. Jadi berhentilah untuk bersolat. Jika kita menunaikan hak Allah terlebih dahulu, insya-Allah akan dipermudahkan segala urusan diri kita.

Sumber: Utusan