Gambar Hiasan |
PERKEMBANGAN akhir-akhir ini amat membimbangkan mengenai status terkini jangkitan virus Zika yang merebak dengan pantas ke beberapa buah negara terutama di rantau Amerika.
Dalam soal kesihatan, Islam mensyariatkan perintah agar umatnya sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Islam meletakkan kebersihan sebagai syarat utama amalan ibadat dan doa diterima Allah SWT. Membudayakan kebersihan adalah bukti kekuatan akidah dan disukai oleh Allah SWT.
Individu Muslim mestilah sentiasa memelihara kesihatan diri di samping menggunakan hanya pakaian yang bersih, tidak dikotori najis dan sebagainya. Inilah imej seorang Muslim. Allah SWT berfrman maksudnya:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri,” (Surah Al-Baqarah : 222)
PENCEGAHAN DALAM ISLAM
Islam membawa pendekatan mencegah dalam menangani wabak dan jangkitan penyakit. Baginda SAW menyatakan panduan apabila kita dikhuatiri berkemungkinan menjadi pembawa kepada sesuatu penyakit kepada orang lain. Rasulullah SAW membuat gesaan untuk tidak memasuki kawasan penyakit dan tidak melarikan diri daripadanya. Baginda SAW bersabda maksudnya:
“Apabila kamu dapati terdapat penyakit taun di mana-mana kawasan, maka janganlah kamu mendekati kawasan tersebut, dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terkena taun, maka janganlah kamu lari daripada kawasan tersebut,” - Riwayat Bukhari.
Pendekatan ini dikenali sebagai kuarantin.
Islam menentukan peraturan bagi kesihatan seks iaitu mengharamkan zina, persetubuhan songsang (homoseksual dan lesbian), melarang persetubuhan dengan isteri yang berada dalam haid, memerintahkan supaya mandi hadas sesudah berhenti haid dan nifas serta sesudah hubungan intim suami dan isteri.
Islam melarang keras sebarang perlakuan yang bukan sahaja menyalahi hukum malahan juga menyalahi tabiat semula jadi manusia sebagaimana Allah SWT merakamkan kisah umat Nabi Lut dengan firman-Nya :
“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas,” (Surah al-A’raf : 80-81).
Islam mengharamkan makanan dan minuman yang membahayakan kesihatan seperti bangkai, darah, dadah dan arak. Islam menggalakkan makanan halal sama ada daging binatang darat atau laut serta menggalakkan memakan madu, buah-buahan, sayur-sayuran dan semua makanan yang berzat.
Seorang Muslim mengambil makanan untuk meneruskan kehidupan dan bukanlah hidup untuk makan, sebaiknya diteladani diet makan Rasulullah SAW iaitu makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang,” - Riwayat Abu Daud.
Islam menggesa umatnya meredakan ketegangan dalam kesihatan mental melalui perintah beriman kepada Allah SWT, mengerjakan solat lima waktu, menutup aurat, menerima Qada dan Qadar, mengharamkan sifat putus asa serta membunuh diri.
Menangani masalah ketegangan hidup dalam masyarakat melalui pengharaman judi, riba, hiburan yang tidak sihat dan sebagainya. Menggalakkan gaya hidup sihat seperti menggalakkan sukan dan aktiviti lasak seperti menunggang kuda, berenang, memanah, sukan lawan pedang dan pelbagai sukan yang berlandaskan syarak.
Inilah panduan Islam supaya umatnya menjadi kuat dan sihat sama ada dari segi jasmani, mental dan rohani. Islam menitik beratkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan maqasid syariah dalam menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa menjadi keutamaan. Semoga Malaysia bebas daripada penularan wabak Zika dan apa jua wabak yang melanda.
Sumber: Utusan