MANUSIA lazimnya tidak mempunyai masalah untuk mengetahui waktu solat yang tepat apabila berada atas muka bumi kerana terdapat pelbagai aplikasi dicipta untuk menentukannya.
Namun begitu, penentuan waktu solat yang tepat di kedudukan 12 kilometer (km) atau 39,000 kaki dari muka bumi masih belum ada walaupun teknologi kapal terbang telah muncul sejak 100 tahun lalu.
Ini diakui sendiri oleh Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia (PSFM), Syed Kamarulzaman Syed Kabber ketika ditemui di pejabatnya, di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
“Kalau di bumi, kita boleh tahu dengan jelas bila matahari naik, tergelincir atau terbenam untuk menentukan waktu solat fardu atau sunat. Tetapi pada paras 12 km atau sedang menaiki kapal terbang, kita tidak akan tahu bila masuk waktu solat kerana kedudukan matahari berbeza berbanding dengan semasa berada di bumi,” katanya.
Dengan kata lain, persoalan tersebut tidak pernah dibincangkan atau diselesaikan walaupun semasa tamadun orientalis dan Islam berada di kemuncak kehebatan masing-masing.
Malah, ketika teknologi penerbangan muncul dan menjadi keutamaan dalam kehidupan manusia, masih tiada kajian sama ada oleh ulama silam dan juga saintis Islam pada hari ini.
Keperluan itu bagaikan tidak terlintas di minda walaupun ramai umat Islam yang menggunakan perkhidmatan penerbangan untuk merentasi benua atau negara atas pelbagai tujuan.
“Kalau kalangan saintis Barat, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kajian itu tiada kerana ia bukannya satu keperluan utama bagi mereka. Kami juga cuba semak buku atau kajian saintifik Islam, khususnya dalam bidang astronomi, memang tiada. Samalah dengan kitab-kitab agama yang lama, termasuk ‘Kitab Kuning’,” kata Syed Kamarulzaman.
Permasalahan itu perlu diselesaikan kerana ia selaras dengan perintah Allah SWT dalam surah An-Nisa:103 bermaksud, “Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman”.
Ia juga sejajar dengan situasi semasa yang menunjukkan perkhidmatan penerbangan menjadi satu keperluan dan bukan lagi merupakan lambang kemewahan. Tambahan pula jika ia melibatkan perjalanan jauh yang memakan masa lama jika menggunakan kenderaan darat atau laut.
“Penentuan waktu solat di muka bumi, angkasa lepas dan dalam lautan sudah ada tetapi ruang antara muka bumi dengan angkasa lepas tidak ada. Sedangkan ruangan itu paling ramai digunakan oleh umat Islam, sama ada untuk menyelesaikan urusan kerja atau melancong,” kata Syed Kamarulzaman.
Justeru, PFSM menyifatkan satu kajian saintifik perlu dilakukan supaya dapat menentukan kedudukan sudut Zenith matahari bagi menentukan waktu solat di udara.
“Ini kerana, kiraan kedudukan matahari dan bulan di muka bumi adalah berbeza sama sekali bila kita berada di ruang udara. Walaupun usaha itu penting demi kepentingan umat Islam tetapi kami sedar kajian sedemikian memerlukan dana yang besar kerana melibatkan penggunaan pesawat komersial jarak jauh,” katanya.
Sumber: Utusan