#Islam: Petaka Kerakusan Nafsu Serakah Seksual Yang Cuba Dihalalkan


KECENDERUNGAN seksual menjadi isu yang hangat diperkatakan apatah lagi apabila diperjuangkan atas jalur hak asasi manusia. Oleh kerana ia bersifat peribadi, maka dikatakan bahawa ia tidak boleh diganggu oleh pemerintah ataupun orang lain. Pendekatan ini diambil sesetengah golongan kerana meletakkan kepentingan persendirian mengatasi kepentingan umum.

Menurut Imam Ali bin Muhammad Al-Jurjani di dalam kitab al-taarifaat kebebasan bererti membebaskan diri daripada tunduk kepada makhluk dan memutuskan segala bentuk hubungan serta kaitan dengan perkara-perkara lain.

Beliau berpandangan kebebasan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu bebas daripada kehendak hawa nafsu, bebas daripada mengikuti kehendak diri kerana fokus kehendak adalah kepada Yang Maha Esa dan bebas daripada pengaruh luar yang memusnahkan diri daripada hikmah Allah.

Berbalik kepada kecenderungan seksual ini sebenarnya terdapat banyak golongan yang perlu kita ketahui. Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah istilah yang sudah tidak asing lagi di negara ini. Di Malaysia golongan ini sedang memperjuangkan hak untuk mengamalkan gaya hidup mereka tanpa campur tangan daripada pemerintah.

Apa yang pasti ia amat bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Konsep amar maaruf nahi mungkar mestilah diaplikasikan kepada mereka di dalam membawa balik mereka ke pangkal jalan.

LANGGAR NORMA AGAMA

Gerakan ini di luar negara lebih rakus lagi. Mereka bukan sahaja memperjuangkan LGBT tetapi menambahnya menjadi LGBTIQ. Penambahan Intersexed (seorang yang mempunyai dua alat kelamin) dan Queer (seorang yang melakukan seks melampaui jantina lelaki dan perempuan sahaja tetapi termasuk dengan haiwan, pokok dan apa sahaja yang difikirkan sesuai) ini agak menggusarkan.

Walaupun kita tidak mempunyai masalah dengan golongan Intersexed atau lebih dikenali dalam Islam sebagai khunsa tetapi golongan Queer akan mendatangkan fenomena buruk kepada negara jika diamalkan.

Bagi khunsa, jurisprudens Islam sudah banyak membincangkannya. Khunsa dijadikan Allah SWT bukan atas pilihan mereka sendiri. Islam telah lama membahaskannya secara tuntas dan tidak terdapat permasalahan bagi mereka untuk memilih jantina berdasarkan kepada kecenderungan mereka sendiri.

Bagi Queer pula jika dibenarkan amat malanglah bagi negara kerana perkara jijik seperti ini akan berleluasa dan memalukan. Di mana nilai sopan ketimuran semata-mata kerana mahu mengikuti nilai antarabangsa yang begitu asing daripada norma dan budaya tempatan.

Selain daripada golongan LGBTIQ ini terdapat juga golongan seperti Asexual iaitu mereka yang tidak mempunyai nafsu seks terhadap mana-mana golongan lain. Mereka ini bukanlah golongan yang mengamalkan celibacy atau pembujangan atas faktor agama atau lain tetapi memang tidak mempunyai naluri seksual semula jadi.

Golongan Ally pula merupakan orang yang bukan LGBT tetapi menyokong dan mempertahankan hak LGBT. Golongan ini perlu disedarkan kerana mereka mempunyai perasaan kasihan terhadap golongan LGBT yang dimomokkan sebagai ditindas oleh masyarakat awam. Atas faktor kasihan dan hak peribadi ini ada dalam kalangan golongan Ally yang jauh lebih hebat mempertahan dan memperjuangkan LGBT daripada golongan LGBT sendiri.

Selain itu golongan transexual pula ialah golongan yang telah menjalani proses perubatan menukar alat kelamin mereka. Hanya golongan heterosexual sahaja merupakan golongan yang normal iaitu yang tertarik dan menyukai orang lain daripada gender berlainan. Namun daripada golongan ini juga perlu dihadkan kerana perlakuan seksual tidak boleh dibiarkan berleluasa atas dasar kerelaan tanpa menjalani ikatan perkahwinan yang sah.

BATASAN AGAMA

Islam bukan sahaja mengharamkan penzinaan tetapi juga mendekatinya. Lantaran itulah di Malaysia terdapat kesalahan-kesalahan seperti khalwat, berkelakuan tidak sopan, persediaan melakukan zina dan banyak lagi bagi menghalang orang Islam menghampiri zina.

Terdapat begitu banyak golongan abnormal perlu didekati bagi mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Bagi setiap golongan ini perlu digarap kaedah berlainan supaya lebih efektif dan menginsafkan mereka. Mengherdik dan mencerca mereka akan hanya menyebabkan mereka lari lebih jauh daripada kebenaran. Pendekatan berhikmah amat perlu bagi membimbing mereka ke pangkal jalan.

Sudah sampai masanya suatu modul atau pendekatan digarap bagi mendekati golongan-golongan yang disebut di atas. Ia bertujuan memberi kesedaran kepada mereka dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan berdasarkan lunas syariah. Mereka juga perlu diajak melihat betapa indahnya kehidupan di bawah lembayung syariah.

Namun sekiranya segala usaha membimbing mereka ke pangkal jalan gagal, maka tindakan undang-undang bolehlah diambil terhadap mereka. Mereka tidak harus dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan dilihat sebagai memberi pengiktirafan untuk menjalani kehidupan yang tidak diredai Allah SWT.

Walau apapun yang dibawa oleh pejuang hak asasi manusia, ia tidak boleh mengatasi ajaran agama. Islam mempunyai hak asasinya tersendiri yang terbit daripada ajaran dan teras agama bersendikan syarak.

Selagi hak asasi manusia itu tidak bercanggah dengan Islam, maka ia boleh diperjuangkan. Namun jika bertentangan dengan ajaran Islam, ia tidak terpakai kepada orang Islam kerana hak menganut dan mengamalkan agama itu dijamin Perlembagaan Persekutuan termasuklah bagi orang Islam yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

Sumber: Utusan