#Islam: Teladani Akhlak Melalui Biografi 9 Ulama Kedah Darul Aman

BUKU tulisan sekumpulan ahli akademik dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) adalah himpunan biografi sembilan pengasas sekolah pondok di negeri berkenaan.

Tujuan utama penulisan buku tersebut adalah bagi mengenang dan sebagai penyataan terima kasih di atas segala jasa ulama terbabit yang semakin dilupakan apabila zaman silih berganti.

Antara yang diketengahkan ialah pengasas Madrasah Al-Najah, Kubang Lembu, Jitra; Omar Salleh yang meninggal dunia pada 1965.

Bekas Exco negeri Kedah berkelulusan dalam bidang agama dari Darul Ulum, Mekah adalah antara penggerak awal kepada kewujudan bank koperasi yang diberi nama Bank Apex.

Selain fungsi utama sebagai bank yang memberi pinjaman kepada koperasi khususnya di utara Tanah Melayu, Bank Apex juga menjadi salah satu saluran pelaburan kepada petani.

Selepas beberapa lama beroperasi, nama bank ditukar menjadi Bank Kerjasama. Apabila pertumbuhannya berkembang ke seluruh negara, namanya ditukar kepada Bank Rakyat. Akhirnya, apabila kemajuan bank berkenaan semakin melonjak naik, namanya ditukar sekali lagi kepada Bank Kerjasama Rakyat yang masih wujud sehingga sekarang.

Dalam pada itu, contoh terpuji yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk menolak kurniaan tanah sebanyak 10 hektar di Padang Terap yang diagihkan kerajaan Kedah kepada setiap Exco.

Sebelum meninggal dunia, beliau juga sempat berpesan kepada 10 anaknya dengan menyebut: “Kalau ada sesiapa di antara kamu hendak jejakkan kaki ke dalam arena politik, pastikan keluarga kamu nanti cukup makan, cukup pakai dan mempunyai asas ekonomi kukuh.

“Kalau tidak, kamu akan terjebak ke dalam kancah rasuah yang adalah godaan kepada pemegang kuasa memerintah negara. Jangan sesekali menjual prinsip dan maruah kamu walau berjuta ringgit ditawarkan untuk membelinya.”

Sifat tidak ghairah untuk mengumpul kekayaan terbukti apabila tidak banyak harta yang ditinggalkan beliau setelah meninggal dunia kecuali dua keping tanah pusaka, sebuah kereta Peugeot 403 yang belum habis dibayar hutang pinjaman dan satu mesin taip jenis Remington.

Seorang lagi pengasas sekolah pondok yang diketengahkan ialah Wan Salleh Wan Ahmad yang menubuhkan Pondok Haji Wan Salleh di Kampung Sungai Baru, Jitra.

Allahyarham yang meninggal dunia pada 1976 berkelulusan daripada Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau dianggap seorang pengasas sekolah pondok yang unik kerana mampu membaca surat khabar berbahasa Inggeris dan boleh berbicara menggunakan bahasa berkenaan.

Kebolehan berkenaan adalah satu kelainan daripada tradisi pengasas dan guru sekolah pondok ketika itu yang boleh dikatakan kurang mahir membaca dan bertutur menggunakan bahasa penjajah berkenaan.

Allahyarham juga seorang yang cintakan haiwan. Terdapat kisah beliau sering dijemput masyarakat setempat untuk menyembelih binatang peliharaan mereka khususnya lembu dan kerbau. Pernah diceritakan beliau tidak menyedari seekor kerengga telah tersangkut di bajunya ketika melakukan kerja sembelihan itu.

Sesudah siap kerja, beliau pun pulang dengan menunggang motosikal dan dalam perjalanan barulah disedarinya seekor kerengga tersangkut di bahu bajunya. Allahyarham kemudiannya berpatah balik untuk meletakkan kerengga itu kembali ke dalam sarangnya.

Walaupun berkawan baik dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Senu Abdul Rahman yang sering menziarahinya, Wan Salleh tidak membenarkan mana-mana fahaman politik disebarkan di pondoknya.

Baginya, fahaman politik hanya di luar pondok. Dalam pondok tidak boleh ada apa-apa jua elemen politik untuk dibahaskan. Bagaimanapun, apa sahaja yang boleh memajukan Islam dan kemajuan umatnya khususnya orang Melayu ketika itu akan mendapat sokongan daripada beliau.

Beliau juga seorang yang merendah diri dan lebih suka dipanggil dengan gelaran Pak Lang berbanding tuan guru yang menjadi kebiasaan panggilan kepada pengasas sekolah pondok.

Sementara itu, buku berkenaan juga memuatkan biografi pengasas Madrasah Al-Nadatul Hasanah, Kampung Melele, Jitra; Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau dikenali sebagai seorang yang memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan tidak pernah jemu untuk berusaha merapatkan hubungan kerjasama antara pemimpin UMNO dan Pas.

Bapa saudara kepada bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor juga sering berpesan bahawa politik hanyalah alat perjuangan manakala agama dan persahabatan kekal sampai bila-bila.

Sumber: Utusan