Isteri U-Wei Ditemui Meninggal Dunia Di Pantai Amerika Syarikat

Gail Saari hilang sejak 22 Januari lalu. - Foto Facebook Gail Saari
KUALA LUMPUR - Isteri kepada pengarah filem tersohor tempatan U-Wei Saari, Diana Gail Saari, 62, ditemui mati di perairan sebuah pantai di Alameda,California, Amerika Syarikat Jumaat lepas setelah tujuh hari dilaporkan hilang.

U Wei atau nama sebenarnya Zuhir, dalam responsnya kepada Bernama melalui Whatsapp, enggan mengulas lanjut dan hanya mencatat: "Terima kasih. Doakan rohnya dirahmati, ditenangi dan disenangi Allah dan berada bersama orang-orangyang beriman."

Sebelum itu, pada Rabu lepas U-Wei dalam catatan di laman Facebooknya menulis:"i love you usah (gail)."
U-Wei Saari
Status berkenaan dipenuhi dengan ucapan takziah sejak semalam (Sabtu) daripada kaumkeluarga dan rakan-rakannya termasuk rakan-rakan seni Sabri Yunus, Pyanhabib, Khalid Salleh, Siti Zainon Ismail dan Eman Manan.

The San Francisco Chronicle dalam portalnya www.sfgate.com melaporkan jasad Gail dijumpai oleh Unit Marin Jabatan Polis Oakland di perairan luar pantai Alameda, California pada petang Jumaat (waktu tempatan) selepas diadukan hilang lebih seminggu.

Gail hilang pada 22 Januari di Oakland, California dan teman-temannya dilaporkan kali terakhir melihatnya pada kira-kira 10 pagi waktu tempatan hari yang sama.

Beliau bertugas sebagai pengarah penerbitan di Independent Institute, sebuah badan pemikir yang tidak bermotifkan untung di 100 Swan Way, Oakland.

Sementara itu, Independent Institute dalam laman webnya menyatakan bahawa sebelum menyertai Institute, Gail adalah Editor Urusan untuk CMP Media dan buku Backbeat di mana beliau menerbitkan buku mengenai muzik, video digital dan kejuruteraan komputer.

Beliau juga tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur selama beberapa tahun bertugas sebagai Editor Urusan bagi majalah Malaysian Naturalist.

Gail mendapat sarjana muda Sastera dari Universiti Tennessee dan ijazah sarjana Sastera dalam Hal Ehwal Antarabangsa dari Universiti Ohio. -Bernama