Isu MB Kedah Akan Diselesaikan Sebaik Mungkin - Idris Jusoh

Idris (tiga, kanan) melancarkan Karnival Pendidikan Tinggi Negara ke-12 di pekarangan Stadium Darulaman, kelmarin.
ALOR SETAR - Pergolakan kepimpinan Umno Kedah akan diselesaikan dengan baik oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, mesyuarat MT yang berlangsung petang kelmarin di Kuala Lumpur tidak membincangkan isu berkenaan.

Beliau yakin presiden parti itu sedang menyelesaikan isu berkenaan dengan sebaik-baiknya.

“Saya percaya beliau (Najib) akan membuat keputusan  terbaik dalam menangani isu ini,” katanya selepas merasmikan Jelajah Karnival Pendidikan Tinggi Negara ke-12, di sini, kelmarin.

Mengenai karnival itu, Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, penganjuran kali pertama tahun ini akan menjadi medium kepada pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat maklumat mengenai kursus ditawarkan institusi pengajian tinggi .

Menurutnya, kementerian menyasarkan kehadiran 800,000 pelajar dalam karnival berkenaan melibatkan enam lokasi  tahun ini iaitu Kuala Terengganu (13-14 Februari), Persada Johor Bahru (20-21 Februari), Kuching (27-28 Februari), Kota Kinabalu (5-6 Mac) dan Bangi  (2-3 April).

Sumber: Sinar Harian