Isu MB Kedah Selesai: KFA Profesional, Seru Penyokong Mara Ke Hadapan


KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersikap profesional dalam mendepani peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Presiden KFA.

KFA menerusi laman Facebook rasminya menegaskan, kini tiba masa untuk seluruh penyokong bola sepak Kedah terus melangkah ke hadapan dan memberi sokongan padu kepada skuad hijaukuning supaya terus bergerak maju.

“Ayuh. Liga Super 2016 semakin hampir, fokus melangkah ke hadapan, skuad Kedah akan terus komited memberi saingan sengit buat semua pasukan.Sokongan anda azimat pasukan hijaukuning,” kata kenyataan itu hari ini.

KFA menyatakan kepercayaan legasi bola yang ditinggalkan oleh Mukhriz akan memberi inspirasi kepada peneraju baru persatuan itu untuk meneruskan kejayaan bola sepak Kedah pada masa depan.

Justeru, KFA menyeru seluruh penyokong Kedah memberi sokongan kepada peneraju baharu bola sepak Kedah bagi memastikan kejayaan yang berterusan pasukan itu di persada Liga Malaysia.

KFA tanpa menafikan sumbangan Mukhriz menjelaskan, skuad Kedah kembali bangkit di persada Liga Malaysia dengan kejayaan menjuarai Liga Premier dan layak ke pentas akhir Piala Malaysia 2015 hasil kerjasama semua pihak berkepentingan di negeri itu.

“Sokongan dan komitmen beliau (Mukhriz) dalam memperkasakan pengurusan dan pasukan Kedah meletakkan asas yang kukuh bagi meneruskan legasi kegemilangan bola sepak hijaukuning di masa hadapan,” kata KFA. –Kedahnews.com