Gambar Hiasan |
Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata hanya 20 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan lebih 14,000 anggota yang dibenarkan bercuti.
Katanya ini bermakna anggota bomba akan bekerja seperti biasa dan bersiap sedia sekiranya berlaku apa-apa kecemasan atau bencana semasa musim raya.
“Sepanjang musim perayaan, anggota dari 279 balai bomba di seluruh negara akan melakukan rondaan untuk meninjau 16 lebuh raya yang berisiko tinggi berlaku kebakaran dan kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini, di sini.
Beliau berkata antara lebuh raya yang diberi tumpuan ialah Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai-Timur.
Wan Mohd Nor berkata bomba juga akan melakukan rondaan di sekitar premis yang menjadi tumpuan masyarakat.
Menurutnya, kejadian kebakaran yang berlaku pada musim perayaan disebabkan pertambahan aktiviti manusia pada ketika itu berbanding hari-hari biasa.
Sementara itu, beliau juga menasihati ibu bapa agar mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain mercun.
“Ini kerana daripada aktiviti bermain mercunlah antara punca kebakaran pada musim perayaan. Ibu bapa dinasihatkan jangan lalai dan kerap memantau aktiviti anak mereka,” katanya. – BERNAMA