Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar |
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar membidas Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah yang sebelum ini mempertikaikan keputusan baginda mengharamkan penjualan vape di Johor.
Dalam titahnya, Baginda mencabar Mohd Ridzuan yang mendabik dada kononnya mahu mengumpul satu juta nama dan tanda tangan, serta menyindir Presiden IKHLAS itu supaya tidak berkelakuan bodoh membahayakan kesihatan masyarakat.
"Kepada pihak yang ingin mencabar keputusan saya iaitu Presiden IKHLAS yang katanya mengumpul satu juta nama dan tanda tangan, mana dia nama yang sudah dikumpul?
"Satu nama pun saya tak nampak lagi. Ingatlah, jangan letak otak di lutut sampai sanggup membahayakan kesihatan orang lain hanya untuk mengaut keuntungan wang ringgit," titah Sultan Johor yang dipetik dari mStar.
Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah |
Sultan Johor menegaskan bahawa baginda telah menerima pandangan dari pakar berkaitan tentang penggunaan vape yang memberi kesan buruk pada kesihatan manusia.
"Sebelum keputusan itu dibuat, saya sudah mendengar pandangan pakar yang berkaitan dan ternyata penggunaan vape lebih banyak mudarat kepada manusia antaranya," titahnya lagi. -Kedahnews.com