Janganlah Sedih Jika Dihentam Secara Berjemaah - Nik Abduh

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Manusia tidak boleh hilang kebebasan membuat keputusan secara unilateral hanya kerana mendapati ada pihak secara `berjemaah’ menyelar pendiriannya dalam sesuatu isu.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, hidup berkonsepkan organisasi dalam `jemaah’ bukan bererti hilang hak kebebasan berfikir, tetapi hilang kebebasan berkeputusan sendiri.

Justeru, beliau yang juga anak kepada kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan seluruh ahli dan penyokong PAS jangan sesekali berasa kerdil dan sedih hanya kerana dihentam oleh pihak yang `berjemaah’

“Jangan sesekali kamu merasa kerdil dan sedih saat dihentam kerana diikat oleh keputusan jemaah. Sesungguhnya penghentam kamu itulah yang merasa kerdil dan iri hati mereka gagal membebaskan diri daripada nafsu mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Mohamad Abduh dipercayai berkata demikian ekoran serangan hebat yang sedang dilancarkan oleh penyokong Pakatan Harapan ke atas PAS dan pimpinannya dalam media sosial.

Penyokong Pakatan Harapan sedang berusaha menjatuhkan pimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mengasut pemikiran penyokogn PAS gara-gara pendirian Abdul Hadi yang tidak selari dengan agenda politik Pakatan Harapan. – Kedahnews.com