JDT Berjaya "Ikat" Pemain Argentina Rebutan Kelab Dunia

Juan Martin Lucero
KUALA LUMPUR – Pemain dari kelab Argentina, Independiente, Juan Martin Lucero dilaporkan telah menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pemain import baharu pasukan itu musim ini.

Beliau menggantikan Paulo Rangel yang dipindahkan ke JDTII selepas gagal menunjukkan prestasi dikehendaki oleh jurulatih Mario Gomez dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini.

Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, JDT amat bertuah kerana berjaya mendapatkan pemain itu bersaing dengan banyak kelab-kelab lain di seluruh dunia yang mahu mendapatkannya.

“Saya meminta maaf atas kelewatan pengumuman pemain import keempat kami. Kami tidak boleh mengumumkannya tanpa sebarang kertas kerja atau pengesahan.

“Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa kami telah menandatangani Lucero. Kami mempunyai banyak pilihan. Tetapi, kami percaya bahawa dia adalah pemain yang paling sesuai untuk JDT,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tunku Ismail berkata, keputusan mengambil Lucero dibuat secara bersama oleh Pengarah Sukan JDT Alistair Edwards, Gomez, Penolong Jurulatih Raul, ‘Scouts’ dan Ejen Kelab Martin Prest, Nasir Yusof, Luciano Figueroa dan juga ‘scouts’ lain di Argentina.

Menurutnya, JDT berpandangan Lucero adalah pemain yang paling sesuai untuk pasukan itu selain usianya yang masih muda boleh dianggap sebagai aset kepada kelab tersebut.

“Lucero masih muda dan mempunyai rekod prestasi yang sangat baik. Beliau merupakan antara salah seorang pemain muda Argentina yang sedang meningkat naik dan beliau juga seorang pemain yang cukup rajin.

“Beliau akan tiba pukul 12 tengahari (hari ini) dan akan menyertai latihan pasukan pada waktu malam. Saya akan memperkenalkan beliau kepada penyokong keesokan harinya di stadium,” katanya.

Baginda dalam pada itu mengakui Harimau Selatan yang sentiasa gah dengan pemain import ternama cuba untuk menjadi “low profile” dalam mendapatkan pemain import musim ini disebabkan faktor ekonomi dunia dan kejatuhan nilai ringgit. – Kedahnews.com