Jemaah Pemangku Sultan Telah Perkenan Senarai Exco Kedah


KUALA NERANG – Jemaah Pemangku Sultan telah memperkenan senarai baharu Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kedah, yang dijadual mengangkat sumpah jawatan itu pada Isnin ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata senarai itu dipersembahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan pada Rabu lepas semasa beliau menghadiri Mesyuarat Ke-240 Majlis Raja-raja di Kuala Lumpur.

“…Bagaimanapun, senarai nama itu akan hanya diketahui pada 22 Feb (Isnin) ini… anda semua tunggulah pada tarikh itu (untuk mengetahuinya),” katanya kepada pemberita semalam, selepas melawat Sekolah Menengah Agama As-Siddiqiah di Padang Kerasak, Naka di sini, yang terbakar pada Ahad lepas.

Majlis mengangkat sumpah exco dan pengurniaan tauliah pelantikan itu dijadual berlangsung di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di sini, di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Mengenai kebakaran sekolah itu, Ahmad Bashah berkata beliau akan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri supaya membantu membangunkan semula sekolah agama itu.

“Kerajaan negeri telah memberikan bantuan segera sebanyak RM100,000 dan pihak-pihak lain juga ada membantu. Saya akan mengarahkan syarikat-syarikat GLC untuk turun tengok dan bantu,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting adalah melihat pelajar-pelajar itu dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Dalam kebakaran kira-kira 5 petang itu, beberapa blok bangunan termasuk asrama lelaki musnah dalam kebakaran itu yang mengakibatkan kerugian lebih RM1 juta.

Kesemua 200 pelajar selamat dalam kebakaran itu. – BERNAMA