Jenayah Di Media Sosial Semakin Membimbangkan

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd
JOHOR BAHRU - Jenayah menerusi media sosial iaitu tindakan penghinaan, hasutan dan penggunaan perkataan berunsur mengaibkan semakin membimbangkan apabila sebanyak 16 kes dilaporkan di Johor sejak 1 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata dalam tempoh yang sama, seramai enam individu ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Katanya, jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1,600 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Tahun lalu, sebanyak 58 kes jenayah media sosial dilaporkan di Johor sepanjang tahun lalu, termasuk 43 kes membabitkan penghinaan dan hasutan terhadap pihak Istana Johor.

"Sebanyak sembilan kes membabitkan penghinaan dan penggunaan perkataan berunsurkan jelek dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala enam kes membabitkan penggunaan perkataan jelek, lucah, mengaibkan dan menyakitkan hati terhadap orang perseorangan.

"Daripada keseluruhan kes, sebanyak 10 kes dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Polis Pencen Negeri Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, pengguna media sosial perlu berhenti menyebar dan berkongsi perkara yang boleh menjejaskan kesejahteraan serta ketenteraman awam, terutama yang bersifat menghasut.

Katanya, hak kebebasan bersuara perlu diamalkan secara berhemah dan berdasarkan kebenaran serta tertakluk kepada sekatan yang diterima pakai secara universal.

Beliau berkata, PDRM memberi fokus untuk membenteras jenayah media sosial tahun ini, susulan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang disifatkan kurang matang dalam mengendalikan laman sosial.

"Di peringkat Bukit Aman, Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) sudah diarahkan memantau dan mengesan mereka yang terbabit, manakala di peringkat IPK Johor, satu pasukan khas ditubuhkan bagi tujuan yang sama supaya tindakan drastik dijalankan," katanya.

Sumber: Berita Harian