Jersi Tiruan Pasukan Helang Merah Dirampas Di Pekarangan Stadium

Anggota KPDNKK menunjukkan hasil serbuan di pekarangan Stadium Darul Aman
ALOR SETAR - Sebanyak 65 jersi pasukan bola sepak Kedah tiruan dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDPNKK) negeri dalam serbuan di perkarangan Stadium Darul Aman di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas 26 gerai menjual jersi di sekitar pekarangan luar stadium sebelum berlangsung perlawanan antara Kedah dengan Terengganu.

“Hasil pemeriksaan kami merampas sebanyak 65 jersi tiruan menggunakan jenama Warrix dengan anggaran RM1,700 yang dijual di lima gerai,” katanya pada sidang akhbar di pejabat KPDNKK negeri di Wisma Persekutuan di sini, semalam.

Menurutnya, lima peniaga tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan untuk diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap helai pakaian dan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan.

“Manakala hukuman denda sebanyak RM15,000 bagi setiap pakaian akan dikenakan ke atas syarikat jika sabit kesalahan,” katanya.

Shahrudin berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti dua hingga tiga pihak yang dipercayai menjadi pembekal kepada jersi-jersi tiruan tersebut dan mereka percaya ia dibawa masuk dari negara jiran.

Serbuan pada jam 2 petang itu dilakukan 30 penguat kuasa KPDNKK selepas menerima aduan berhubung penjualan jersi palsu itu daripada pemilik syarikat pengeluar jersi jenama tersebut dari Thailand.

Sumber: Sinar Harian