JOHOR BAHRU - Seorang gadis yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan polis awal pagi tadi selepas disyaki membuat kenyataan di Facebook yang menghina Sultan Johor, akhir tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, wanita berusia 26 tahun itu ditahan susulan satu laporan polis yang dibuat Pegawai Khas Majlis Gabungan NGO Johor di Balai Polis Kempas di sini, pada 8.53 malam, 15 Disember 2015.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Pontian dekat sini, bekerja sebagai GRO di kelab malam di bandar raya ini.
"Suspek ditahan di tempat letak kereta, di hadapan pusat beli-belah di Jalan Sutera di sini, kira-kira 3 pagi tadi.
"Pengadu pada 15 Disember tahun lalu ketika di kedai makan di Taman Putra di sini, ada membaca satu komen dimuat naik wanita yang dipercayai menghina Sultan Ibrahim.
"Komen itu dibuat sebagai respon kepada satu status yang menyentuh berkenaan isu Vape.
"Suspek yang menggunakan nama Chinta Fina bagi akaun FB ditahan pada jam 3 pagi dan reman ke atas suspek akan dibuat petang ini," katanya, di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. -Kedahnews.com