Kebakaran Di Pusat Pelupusan Sampah Akan Pulih - Bomba

ALOR SETAR - Kebakaran di pusat pelupusan sampah di Kampung Padang Tok Sedau, Pendang sejak pagi Jumaat lalu dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya selewat-lewatnya tiga hari lagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada cuaca berikutan keadaan panas dan angin kencang yang tidak menentu.

"Sekiranya hujan lebat, kebakaran boleh dipadamkan dengan segera tetapi jika cuaca panas dan angin kencang berterusan, kerja pemadaman akan mengambil masa yang lama.

"Sehingga pagi ini, kira-kira 45 peratus daripada kawasan berkeluasan 0.4 hektar yang terbakar itu telah berjaya dipadamkan.

"Kita turut mendapat bantuan Majlis Daerah Pendang dan Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) yang telah menyediakan lori dan jentolak bagi kerja mengambil tanah untuk menimbus kawasan yang masih terbakar," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mohd Jamalludin berkata, kebakaran masih dalam keadaan terkawal dan anggotanya sedang menjalankan kerja pemadaman dalaman dengan menggunakan air daripada tangki bomba yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pendang.

Katanya kerja pemadaman telah dijalankan tanpa henti sejak mendapat panggilan kecemasan pada pukul 6.20 pagi semalam. - Bernama