Kebakaran Di Pusat Pelupusan Sampah Pendang Padam Sepenuhnya

ALOR SETAR - Kebakaran di pusat pelupusan sampah di Kampung Padang Tok Sedau, Pendang sejak pagi Jumaat lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya, malam semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata kebakaran di kawasan seluas 0.4 hektar itu berjaya dipadamkan kira-kira jam 8 malam.

"Kebakaran dipadamkan 100 peratus dengan menggunakan kaedah menimbus tanah di kawasan yang terbakar selain menjalankan kerja pemadaman dalaman dengan air daripada tangki bomba.

"Tugas memadam kebakaran melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Pasukan Bomba Sukarela Pendang, Majlis Daerah Pendang dan Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kerja pemadaman telah dijalankan tanpa henti sejak mendapat panggilan kecemasan pada jam 6.20 pagi Jumaat lalu. - Bernama