Kekal Exco Sedia Ada Demi Kestabilan UMNO Kedah - Ahmad Bashah

Ahmad Bashah (kiri) meluangkan masa meninjau kaunter penyerahan BR1M kepada penerima.
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan, tidak pernah berniat untuk melakukan rombakan dalam barisan Exco bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir, termasuk menyingkirkan Exco pro-Mukhriz walaupun beliau berhak berbuat demikian.

Sebaliknya, katanya, beliau memutuskan untuk mengekalkan anggota Exco sedia ada, demi kestabilan Umno Kedah.

“Saya boleh buang semua Exco (pro-Mukhriz) tetapi saya tak ambil kesempatan, itu bukan niat saya. Saya boleh sahaja buang Exco yang sokong Mukhriz  atau yang tidak sokong saya, tetapi kita dalam sebuah parti. 

"Yang perlu saya lakukan adalah bawa mereka kembali kepada saya kerana harapan rakyat terlalu tinggi terhadap kepimpinan kerajaan negeri dan parti,” katanya, pada sidang media, selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat daerah Kota Setar, kelmarin.

Menurutnya, walaupun pada awalnya wujud kebimbangan mengenai sokongan mereka terhadap dirinya selaku Menteri Besar Kedah yang baharu, namun setelah kesemua sembilan anggota Exco menyatakan taat setia kepada kepimpinannya, beliau yakin tidak akan lagi wujud kumpulan tertentu yang menjadi ‘duri dalam daging’.

“Dalam politik, apabila berlaku peralihan kuasa, adalah kumpulan yang sokong atau tidak setuju. Mungkin sekarang kumpulan itu sudah dapat buat penilaian, yang perlu diberi keutamaan adalah bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan,” katanya.

Ahmad Bashah berharap kesemua Exco akan membantu menggerakkan agenda pembangunan di Kedah sepanjang tempoh pentadbiran beliau sebelum berdepan PRU14.

Pada Isnin lalu, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Tajul Urus Mat Zain, Datuk Badrol Hisham Hashim, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah, Datuk Norsabrina Mohd Noor, Datuk Aminuddin Omar dan Datuk Dr Leong Yong Kong; yang dilantik bawah pentadbiran Mukhriz mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit.

Sebahagian besar portfolio Exco berkenaan dikekalkan dan hanya berlaku sedikit rombakan.

Tindakan Ahmad Bashah mengekalkan barisan Exco sedia ada mendapat pujian yang menyifatkan tindakan itu tepat bagi melancarkan pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber: Sinar Harian