ALOR SETAR - Suasana dalaman di blok E, Wisma Darul Aman sekitar jam 2 petang tadi tenang-tenang sahaja, namun di luar pintu utama puluhan wakil media berkampung memerhati bangunan pentadbiran kerajaan negeri Kedah itu menantikan berita hangat.
Sementara itu, di tingkat 6 bangunan berkenaan, difahamkan semua 19 Adun Barisan Nasional (BN) termasuk Exco Kerajaan Negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri untuk menanti giliran masing-masing mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
20 pemimpin BN tersebut dikatakan telah dikawal ketat dan diminta untuk meninggalkan tingkat 6 berkenaan setelah selesai mengadap dengan pengiring khas, selain dilarang berbual bersama selepas pertemuan dibuat.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir difahamkan turut mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di saat-saat akhir, selepas pertemuan dengan semua 19 Adun BN dan Speaker Dun selesai.
Kedahnews.com difahamkan bahawa semua Adun BN berkenaan tidak berganjak dari pendirian masing-masing sepertimana akuan bersumpah yang dibuat sebelum ini, menandakan berkemungkinan besar perubahan pucuk pimpinan Kerajaan Negeri bakal berlaku dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, mStar melaporkan bahawa sumbernya memberitahu bahawa Mukhriz bakal disingkirkan dari jawatan Menteri Besar Kedah setelah beliau enggan meletak jawatan walau diminta berbuat demikian oleh Jemaah Pemangku Sultan.
Tidak menjelaskan sumber tersebut, media itu menyiarkan bahawa Mukhriz diminta meletak jawatan kali pertama pada Jumaat lalu dan kali kedua pada tengahari tadi.
Keengganan Mukhriz meletak jawatan tersebut dijangka bakal menyebabkan beliau berkemungkinan menerima notis penyingkiran dari Jemaah Pemangku Sultan.
Selain itu, wakil media yang sempat menemubual Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, turut melaporkan bahawa 19 Adun BN yang mengadap itu langsung tidak berganjak dari akuan bersumpah yang dibuat.
Malah lapornya, jumlah 19 kepimpinan BN itu turut disokong oleh Speaker Dun, Datuk Paduka Md Rozai Sapian, menjadikan jumlah keseluruhan yang menuntut pertukaran pucuk pimpinan negeri Kedah berjumlah 20 orang.
"Semua 19 Adun yang menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri pada Ahad kekal dengan pendirian masing-masing.
"Speaker juga turut hadir, menjadikan jumlahnya 20 wakil rakyat setakat ini," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, petang tadi.
Sehingga jam 6 petang, wakil-wakil media masih tidak berganjak dari pintu utama Wisma Darul Aman. -Kedahnews.com