Kemungkinan Husam Memang Nantikan Dipecat Dari PAS - Penganalisis

Datuk Husam Musa
SHAH ALAM - Penganalisis politik menjangkakan ada kemungkinan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memang menanti untuk dipecat parti atas tindakan-tindakannya yang menyerang parti dari luar.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, implikasi sekiranya Husam dipecat dengan beliau sendiri meninggalkan parti secara sukarela akan berbeza di mata penyokong.

“Sudah pasti ada kesan pada parti (sekiranya Husam dipecat). Kalau dia keluar parti, maksudnya dia dengan sukarela tapi jika dipecat seolah-olah parti yang menyebabkan beliau terpaksa keluar daripada parti.

“Bagi mereka (penyokong) yang kritikal akan melihat keputusan itu (pecat Husam) berat sebelah tapi bagi parti itu keputusan yang wajar kerana dia mengkritik parti dari luar,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau telah menyerahkan kes Husam kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menjalankan siasatan dan tindakan menanti Adun Salor itu ialah diberi amaran, digantung ataupun dipecat.

Husam lantang mengkritik dan mencabar parti dan pemimpinnya secara terbuka berkaitan beberapa isu termasuk hudud.

Dalam pada itu, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan sekiranya Husam dipecat, langkahnya akan disusuli oleh barisan penyokong yang berdiri teguh di belakangnya.

“Tetapi sebahagian penyokong yang percaya kepada kepimpinan parti tidak akan berundur,” katanya.

Akui tidak faham sebab Husam masih di dalam Pas, Sivamurugan tidak dapat menjangkakan sama ada Husam akhirnya akan bersama bekas-bekas pemimpin Pas untuk menyertai Amanah.

“Implikasinya bergantung kepada apa yang akan Husam lakukan selepas itu kerana beliau masih di dalam (parti) dan mungkin menunggu untuk dipecat oleh parti daripada meninggalkan parti itu sendiri.

“Saya tidak pasti yang itu kerana jika dia mahu masuk Amanah, sudah lama dia masuk. Saya tidak tahu kenapa dia menunggu begitu lama...kenapa dia lewat buat keputusan. Itu yang saya tak boleh jangka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian