Kerajaan Akan Putuskan Gabenor Bank Negara Yang Baru - Mohd Najib


SAN FRANCISCO - Kerajaan akan memutuskan dalam waktu terdekat berhubung pelan pengganti Gabenor Bank Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja seminggu beliau di Amerika Syarikat, di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia), Najib berkata kerajaan yang perlu buat keputusan berhubung perkara itu.

Perdana Menteri diminta mengulas tentang pelan pengganti serta laporan berita memetik Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai berkata yang beliau tidak mahu ahli politik mengambil alih jawatan di Bank Negara.

Zeti, yang bakal bersara pada April, berkata di Kuala Lumpur bahawa beliau tidak akan menyambung khidmat untuk satu lagi penggal.

Beliau berkata proses mencari pengganti sedang dibuat oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga Bank Negara Malaysia yang dianggotai pengarah-pengarah bebas daripada sektor swasta.

Menjawab soalan lain, Najib berkata sebaik pulang ke tanah air beliau akan berbincang dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung cadangan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

"Saya fikir kami perlu memastikan apa juga langkah yang kami ambil perlu memenuhi keperluan ekonomi. Beberapa sektor ekonomi memerlukan pekerja seperti industri perladangan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengambil perhatian bahawa kerajaan perlu menangani kebimbangan berhubung masalah sosial yang mungkin timbul daripada kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang banyak.

Ahmad Zahid berkata kerajaan bercadang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh bagi memenuhi keperluan industri, tetapi banyak pihak menyatakan kebimbangan tentang impak daripada langkah itu.

Mengenai Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara perlu diperhalusi, Najib berkata kerajaan mengambil maklum perkara tersebut.

Najib berkata rang undang-undang itu tidak menarik kuasa Yang di- Pertuan Agong sama sekali.

Beliau berkata ia bertujuan untuk menangani ancaman keselamatan.

"Sebagai contoh insiden Lahad Datu, kuasa tambahan (dalam menangani isu itu) diperlukan," katanya.

Insiden Lahad Datu merujuk kepada kejayaan pasukan keselamatan Malaysia menggagalkan cubaan kumpulan militan dari selatan Filipina untuk menceroboh Sabah antara 11 Feb dan 24 Mac, 2013. - BERNAMA