Kerajaan Jamin Tetap Utamakan Kepentingan Rakyat – Mohd Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (baju biru) bersalaman dengan orang ramai yang berebut-rebut untuk menatap wajah beliau dari dekat selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Matang Gedong semalam. - Foto BERNAMA
SUNGAI PETANI – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan akan tetap mengutamakan rakyat yang memerlukan bantuan walaupun pada masa sama negara kehilangan hasil RM40 bilion akibat kejatuhan harga minyak.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pelbagai usaha dirangka bagi membantu menangani beban rakyat dan sebagai contoh pesawah padi di Kedah mendapat manfaat dalam pengubahsuaian bajet 2016 baru-baru ini apabila menerima tambahan tunai RM50 bagi setiap tan metrik padi sebagai insentif kepada mereka.

“Dalam pengubahsuaian bajet, kerajaan telah lakukan beberapa perkara seperti mana saya maklumkan iaitu pesawah padi di Kedah saya ambil perhatian amat berat.

“Saya telah umumkan tambahan tunai RM50 sebagai insentif. Insya-Allah pada masa akan datang kita boleh pertimbangkan (tambahan insentif). Untuk keluarga miskin tegar, 20 kilogram beras diterima mereka melalui program MyBeras dan kita akan fikir kaedah macam mana nak sampaikan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar @ Ukir Square di sini, semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mengenai Pusat Transformasi Bandar (UTC), Najib berkata ia merupakan lambang kepada aspirasi kerajaan untuk melakukan transformasi demi manfaat rakyat.

“Ia adalah bagaimana sebuah kerajaan boleh mengadakan khidmat penyampaian yang lebih berkesan untuk keselesaan rakyat dengan kos yang paling minimum.

“Setakat ini kita telah tubuhkan 10 UTC sejak 2012. Sebanyak 11.5 juta rakyat telah menggunakan kemudahan UTC di seluruh negara, manakala UTC di Alor Setar, sejak Julai 2013 sebanyak 3.7 juta orang telah mendapat kemudahan,” katanya.

Najib berkata, penubuhan UTC merupakan satu pendekatan bermakna dan berkesan dengan peniaga mendapat peluang perniagaan manakala pelanggan boleh membeli belah dan mendapat kemudahan yang disediakan.

Katanya, UTC telah memecahkan tembok-tembok dan lohong-lohong yang sebelum ini memisahkan kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan.

“Di Malaysia kita dapat kerjasama yang baik dari penjawat awam, sebab itu UTC boleh buka tujuh hari seminggu, satu kemudahan yang amat disenangi,” katanya.

Sementara itu, di akhir ucapannya Najib meluluskan peruntukan RM15 juta kepada kerajaan negeri bagi membina sebuah kompleks perniagaan di sini, yang menempatkan peniaga-peniaga tempatan untuk berniaga.

Peruntukan berkenaan dipohon Ahmad Bashah dalam ucapannya bagi membantu mengumpulkan peniaga dalam satu tempat secara lebih teratur dan sistematik. – BERNAMA