Kereta Dirempuh Dari Belakang, Wanita Maut Cedera Parah Di Kepala

SUNGAI PETANI - Seorang wanita maut selepas kereta yang‎ dinaiki bersama keluarganya dirempuh sebuah kereta lain dari arah belakang dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 102.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, kira-kira jam 3.50 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, mangsa yang maut‎ di tempat kejadian dikenali sebagai Lim Hui Wen , 26, yang mengalami kecederaan parah di kepala.

"Mangsa yang merupakan penumpang di tempat duduk belakang (sebelah kiri), adalah anak kepada dua lagi mangsa yang cedera iaitu bapanya Lim Sai Kim, 63, dan ibu Tan Swan Cheok, 57.

Ayahnya yang berada di tempat duduk (sebelah kanan) penumpang belakang, dan ibunya yang berada di (tengah) tempat duduk penumpang belakang, masing-masing mengalami luka pada kaki dan tangan.

Md Zukir berkata, turut mengalami kecederaan pada kaki dan tangan ialah  menantu kepada pasangan suami isteri terbabit, yang memandu kereta, Ong Chu Liang, 25, dan penumpang hadapan Um Hui Ying, 25.

"Kedua-dua kereta dari arah Butterworth menuju arah Alor Setar, pemandu kereta yang belum dapat dikenal pasti, dipercayai gagal mengawal keretanya yang dipandu laju, menyebabkan dia melanggar bahagian belakang kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu.

Pelanggaran menyebabkan kereta dinaiki keluarga terbabit terbabas ke kiri jalan, berpusing sebelum terbalik ke dalam longkang.

"Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama