Kes Denggi Di Kedah Meningkat Dari 100 Kepada 109 Kes

ALOR SETAR - Kedah mencatat peningkatan sembilan peratus iaitu 109 kes bagi tempoh 1 hingga 30 Jan tahun ini berbanding 100 kes yang direkodkan untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, tiga daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lepas ialah Baling (29 kes berbanding lima), Kuala Muda (42 kes berbanding 15) dan Pendang sebanyak dua kes.

"Beberapa daerah pula menunjukkan penurunan kes iaitu Kulim, Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap, Yan dan Sik," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Dr Norhizan berkata bagaimanapun setakat ini, tiada kes kematian akibat demam denggi dilaporkan.

Beliau berkata bagi tempoh itu, pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 26,975 premis dan 16,178 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

"Jabatan ini juga mengeluarkan 223 kompaun dengan nilai RM111,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975," katanya. - Bernama