Kes Kemalangan Di Kedah Meningkat 9% Berbanding Tahun Lalu

SUNGAI PETANI - Statistik kemalangan serta kematian di jalan raya di Kedah sepanjang 2015 masih tidak menunjukkan wujudnya perubahan sikap pengguna seperti yang diharapkan, kata Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.

Zamri berkata, di sebalik kempen serta peringatan demi peringatan yang diberikan, jumlah kemalangan jalan raya meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu daripada 20,159 kes pada 2014 kepada 22,015 kes pada 2015.

"Statistik bagi Op Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina, turut menunjukkan peningkatan sebanyak 12.66 peratus iaitu daripada 829 kes pada 2014 kepada 934 kes untuk tempoh sama 2015.

"Begitu juga dengan kemalangan maut, yang mana terdapat peningkatan sebanyak 6.66 peratus iaitu daripada 15 kes pada Op Selamat 2014 kepada 16 kes pada 2015," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 8 sempena perayaan Tahun Baru Cina peringkat Kontinjen Kedah di Plaza Tol Sungai Petani Selatan, di sini kelmarin. - Bernama