Kisah Berita VIRAL Netizen dan DOSA Jariah Di Laman Sosial


PERKATAAN viral amat sinonim dengan budaya media sosial dewasa kini. Dalam bahasa yang mudah difahami perkataan viral membawa maksud perihal merebaknya sesuatu berita atau maklumat bagaikan virus yang mampu mencetuskan fenomena tertentu mahupun mencorakkan persepsi masyarakat.

Tidak dinafikan kehebatan teknologi maklumat kini dengan pelbagai aplikasi media sosial yang canggih seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Telegram dan sebagainya sememangnya banyak mempengaruhi fenomena viral dalam kalangan masyarakat.

Tidak sukar untuk sesuatu maklumat mahupun berita diviralkan. Hanya dengan menggerakkan jari-jemari mahupun memetik satu dua papan kekunci, sesuatu berita dan maklumat tersebar begitu pantas tanpa tapisan.

Amat dangkal jika ada yang mengeluh marah dengan aplikasi media sosial ini atau ingin sewenangnya mencadangkan diharamkan terus penggunaannya. Bagi penulis, pelbagai media sosial kini hanyalah alat yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan atau sebaliknya.

Analoginya seperti sebilah pisau yang boleh sahaja digunakan untuk perbuatan mungkar seperti membunuh dengan cara yang tidak sah ataupun dimanfaatkan untuk kebaikan seperti memotong daging untuk disedekahkan kepada yang memerlukannya.

Aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instragram dan Telegram, boleh sahaja digunakan untuk penyebaran ilmu dan dakwah hingga seseorang itu mampu mengumpulkan pahala jariah yang berterusan sehingga hari kiamat walaupun jasadnya sudah mati.

Sebaliknya jika aplikasi media sosial hari ini dijadikan alat penyebaran berita-berita tidak benar mahupun maklumat-maklumat berupa fitnah atau ghibah, nescaya kita boleh terjerumus dalam kancah dosa-dosa jariah atau istilah yang digunakan oleh Imam Al-Ghazali sebagai maksiat jariah.

Perkataan jariah ini bermaksud sifat sesuatu perkara yang berterusan. Apabila dinisbahkan kepada pahala ataupun dosa, ia membawa makna bahawa pahala atau dosa tersebut akan berterusan, berkekalan dan terus hidup walaupun jasad manusia hakikatnya telah mati.

Demikianlah yang dimaknakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum ad-Din dengan kata-katanya:

“Betapa beruntungnya bagi orang yang telah mati, dalam masa yang sama, dosanya juga turut mati (terhenti), tetapi celakalah bagi orang yang telah mati, namun dosanya masih kekal berterusan selama seratus tahun, dua ratus tahun, atau lebih dari itu (bergantung kepada kesan amalan buruknya). Dia diazab di dalam kuburnya kerana dosa-dosa tersebut (selagi mana dosa-dosa tersebut memberi kesan kepada orang lain)”.

Jika kita teliti kata-kata Imam al-Ghazali ini, kita akan dapati bahawa kata-kata ini terdapat sandarannya dari al-Quran dan as-Sunnah iaitu firman ALLAH dalam Surah Yasin ayat 12:
 “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan, serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (catatan amalan) yang jelas nyata”.
Ayat ini jelas menyatakan bahawa setelah seseorang meninggal dunia, bukan hanya amalan yang telah dikerjakan sahaja ditimbang dosa dan pahalanya di sisi ALLAH, bahkan segala kesan perbuatannya termasuklah kesan dari kata-katanya juga akan ditimbang dan diambil kira  di sisi ALLAH.

Kecenderungan berkongsi dan meviralkan maklumat serta berita yang belum dapat dipastikan keabsahan dan kesahihannya boleh menempah diri kita kepada kecelakaan.

Kecelakaan sebegini lebih buruk kerana bukan sahaja mengumpulkan dosa fitnah dan ghibah lantaran maklumat yang disebarkan, tetapi apabila ia menjadi viral dan dikongsi pula pelbagai pihak, dosa-dosa tersebut bagaikan virus yang membarah dan membesar kerana menjadi dosa jariah yang tidak mampu dibendung lagi.

Akhirnya setiap kali orang membaca mesej yang diviralkan itu, setiap kali itu jugalah kita menanggung dosa-dosa jariah yang menyebabkan kita menjadi muflis di akhirat.

Nabi SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim telah menjelaskan perihal orang yang muflis akhirat ini. Mereka ini dianggap muflis kerana segala pahala kebajikannya sepanjang kehidupan di dunia akan berpindah kepada mereka yang dianiayainya kerana berita fitnah, tohmah, ghibah, kutukan, labelan, bahkan memakan harta secara tidak sah.

Manakala dosa-dosa mereka yang dianiayainya itu berpindah kepada dirinya hingga tiada apa lagi yang tinggal untuk dipersembahkan kepada ALLAH pada hari pembalasan kelak.

Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam keghairahan membudayakan ‘viral’ sesuatu berita atau maklumat dengan pelbagai kemudahan media sosial kini.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)/Sinar Harian