Ahmed Mansour Qorany Sharara, 3 tahun |
KAHERAH – Ahli keluarga seorang budak lelaki Mesir berusia 3 tahun yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada minggu lepas berkata, mereka berasa lega.
Mereka meluahkan rasa lega begitu selepas menerima jaminan daripada pihak kerajaan bahawa baik anak lelaki mereka mahupun bapanya tidak akan ditangkap lagi.
Bapa kanak-kanak itu, Mansour Qurany Sharara, telah kembali ke rumah keluarganya di wilayah selatan Mesir selepas hampir 18 bulan berada dalam pelarian.
Mansour mengelak dari pihak berkuasa yang sebelum ini telah menahannya apabila mereka datang untuk menangkap anak kecilnya.
Dalam satu keputusan, mahkamah tentera minggu lalu mendapati kanak-kanak itu, Ahmed Mansour Qorany Sharara, dan 115 orang lain bersalah membunuh tiga orang.
Mereka turut didakwa mensabotaj harta awam dan swasta semasa demonstrasi politik pada Januari 2014.
Ahmed berusia 16 bulan ketika pertuduhan jenayah tersebut dibuat.
Keputusan bersalah yang dijatuhkan pada 16 Februari itu mencetuskan kemarahan ramai pihak.
“Bagaimana harus rakyat mempercayai institusi keadilan jika mereka melihat keadaan ni?” kata pengacara televisyen, Wael Elebrashy pada Sabtu lalu semasa beliau menemubual bapa kanak-kanak tersebut di sebuah studio di Kaherah.
Ahmed sedang tidur di pangkuan bapanya sepanjang temubual berlangsung dan bapanya menangis meminta pertolongan kerana risau anaknya dipenjarakan.
Apabila polis tiba untuk menahan Ahmed buat pertama kali pada tahun 2014 dan menyedari beliau adalah seorang kanak-kanak, mereka kemudian menahan bapanya selama empat bulan sebelum seorang hakim membebaskannya.
Sejak itu Sharara telah menghabiskan hampir setahun setengah dalam pelarian untuk mengelak daripada pihak berkuasa yang mahu meneruskan kes terhadap anak kecilnya kerana dia takut ditahan sekali lagi, katanya kepada Wael Elebrashy.
Semasa kemuncak kemarahan orang ramai itu, pihak berkuasa telah memberi jaminan bahawa kedua-dua bapa dan anak tidak akan ditahan lagi.
Pihak tentera telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang menyatakan mereka telah tersilap menahan Ahmed.
Sebenarnya mereka menyangka bahawa mereka telah berjaya menahan seorang remaja berusia 16 tahun yang telah meloloskan diri dari tahanan pihak berkuasa dan mempunyai nama yang sama dengan Ahmed. -Kedahnews.com