SUNGAI PETANI - Kekurangan kolam semula jadi di tengah-tengah kawasan bandar ini memberi ilham kepada seorang ahli peniagaan dari Sik untuk membuka sebuah kolam ikan buatan sendiri di Jalan Lencongan Barat, dekat Laguna Merbok, di sini.
Kolam ikan yang diberi nama Kolam Memancing Laguna View Park kini semakin menjadi tumpuan penduduk tempatan, terutama kaki pancing dari kawasan sekitar dan luar negeri ini.
Kewujudan kolam ikan yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan itu juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kaki pancing di seluruh kawasan Kuala Muda.
Pengurus kolam ikan berkenaan, Nor Hanim Saibon berkata, permintaan terhadap ikan air tawar yang semakin meningkat memberi peluang kepada pengusahanya untuk membuka sebuah kolam ikan buatan sedalam 2.4 meter dengan keluasan 1 hektar.
“Alhamdulillah sejak dibuka tiga tahun lalu, sambutan daripada pengunjung dalam dan luar Kedah seperti Pulau Pinang dan Perlis begitu menggalakkan.
“Memancing di kolam buatan ini juga bukan sahaja dapat memberi kepuasan kepada kaki pancing, malah ikan yang berjaya dinaikkan boleh dibawa pulang," katanya.
Menurut Nor Hanim, kolam ikan buatan itu mampu menempatkan lebih enam spesies ikan air tawar, antaranya ialah ikan haruan, talapia, patin, keli dan toman.
Di samping itu, katanya, bagi memudahkan pemancing yang berkunjung, pihaknya menyediakan kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung dengan mengetengahkan konsep mesra memancing dalam suasana santai yang mendamaikan.
“Sambil menanti kehadiran ikan, pemancing berkesempatan untuk menikmati panorama hijau semula jadi yang terdapat di sekeliling kolam berkenaan.
“Saat meluangkan masa memancing di Kolam Laguna View Park, pasti mengingatkan pengunjung akan suasana kampung yang begitu menenangkan," ujarnya.
Titik beratkan nilai, kualiti ikan
Ketika ditanya mengenai cara pembersihan dan pengendalian kolam ikan, Nor Hanim berkata, pihaknya amat menitikberatkan nilai dan kualiti kesegaran ikan.
“Saya akan memastikan kolam sentiasa bersih dan teratur dari segi pembersihan rumput, pembuangan anak ikan serta baik pulih sistem saliran air.
“Saya juga akan pastikan suasana persekitaran kolam memuaskan dan sedap mata memandang,” katanya.
Menurutnya, dia mendapatkan bekalan ikan daripada pengusaha ikan dari kolam mereka sendiri dari Sik dan melepaskannya ke dalam kolam dua kali sebulan.
“Ia bergantung pada kuantiti dan jenis ikan yang diambil. Anggaran ikan dalam kolam kira-kira 3,000 hingga 3,500 ikan," katanya.
Katanya, meluangkan masa memancing di kolam ikan buatan itu juga dapat menenangkan fikiran serta memberi kepuasan memancing.
Jelasnya, kaki pancing juga tidak perlu meredah hutan tebal dan mengeluarkan kos perjalanan yang banyak kerana ia terletak di tengah bandar.
“Selain itu, kelainan yang terdapat di kolam ikan Laguna View Park ini daripada tempat-tempat lain ialah kualiti airnya yang semula jadi.
“Walaupun ia kolam buatan, tetapi air di kolam ini dari air mata air atau air semula jadi iaitu kawasan paya bakau yang dijamin bersih tanpa klorin. Jadi, ikan-ikan di sini seperti berada dalam habitat asal mereka, sekali gus menghasilkan rasa ikan yang lebih enak dan tidak hanyir," katanya.
Boleh bersantai bersama keluarga
Kolam Memancing Laguna View Park yang beroperasi 24 jam setiap hari turut menjadi pilihan pemancing kerana menyediakan kemudahan bersantai bersama ahli keluarga.
“Mereka tidak perlu bimbang jika teringin membawa ahli keluarga bersama kerana di sini terdapat restoran dan kemudahan awam seperti tandas dan rumah rehat," ujarnya.
Kolam memancing yang dibina berkonsepkan ala homestay itu pasti memukau pengunjungnya.
Selain menyediakan pelbagai kemudahan seperti tandas, surau, dewan, restoran, termasuk kemudahan membuat BBQ dan terdapat bilik untuk menginap yang dibina berhampiran kolam memancing itu .
Sementara itu, seorang kaki pancing, M Sangkaran, 23, berkata, kolam itu adalah lokasi terbaik untuk melepaskan gian jika tidak dapat turun ke laut untuk memancing.
“Saya kerap ke sini bersama kawan terutama hujung minggu. Walaupun tak dapat ke laut, memancing di sini masih mampu memberikan kepuasan kepada saya.
“Selain memancing, kolam ini juga menjadi lokasi kami menghabiskan masa untuk beriadah bersama,” katanya.
Sumber: Sinar Harian