Konflik: Azmin, Guan Eng Jangan Gaduh, Pujuk Wan Azizah...


SERDANG – Konflik perbezaan pandangan antara Menteri Besar Selagor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu diselesaikan dengan segera.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Islam berharap perbezaan tersebut berakhir secara baik.

“Kita akan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” jawabnya ringkas ketika diajukan soalan dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada pusat jagaan anak-anak pelarian Rohingya di Knowledge Garden Learning Centre, semalam.

Sebelum ini Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR membantah keputusan Guan Eng menamatkan khidmat dua Adun PKR di Pulau Pinang dalam sayrikat berkaitan kerajaan (GLC) gara-gara berkecuali dalam usul dibawa Adun BN pada sidang Dun tahun lalu.

Namun begitu, Guan Eng Isnin lalu menyatakan Mohamed Azmin tidak sepatutnya masuk campur dalam hal pentadbiran Pulau Pinang kerana prinsip tidak masuk dalam pentadbiran negeri masing-masing sejak 2008.

Mengulas mengenai anak-anak pelarian Rohinya, Wan Azizah berkata, golongan berkenaan yang mendapat perlindungan di negara ini perlu dibantu dengan memberi peluang pendidikan.

“Ini kerana, jika kita ada pelarian tanpa pendidikan ia bakal mengundang pelbagai masalah sosial.

“Mereka ini boleh kita anggap sebagai satu pelaburan kepada negara yang akhirnya ilmu hasil daripada peluang pendidikan yang diberikan boleh membantu negara,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai persiapan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, Wan Azizah mengakui wujud sedikit kelainan berbanding pilihan raya negeri lain kerana faktor keluasan negeri.

“Kita bersedia mengambil bahagian dan cuba beri perkhidmatan terbaik serta pilihan kepada rakyat Sarawak.

“Perbincangan mengenai kerusi kita adakan dan kita juga ada prinsip kalau boleh wujudnya pertemuan satu lawan satu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian