Kongres, PAS Kedah Dakwa Nasib 31,820 Pesawah Belum Terbela

Mohd Azmi (duduk, kanan) bersama sebahagian pesawah dan jawatankuasa Sekretariat Kongres Rakyat Negeri Kedah pada sidang media semalam.
ALOR SETAR - Sekretariat Kongres Rakyat Kedah menggesa kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya bagi meringankan beban 31,820 pesawah.

Penasihatnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenaikan kos sara hidup menyebabkan kehidupan mereka semakin terhimpit.

Beliau berkata, pendapatan pesawah Mada yang kini dikatakan RM32,000 setahun (RM2,000 sebulan) akan ditingkatkan kepada RM48,000 setahun (RM4,000 sebulan) menjelang 2020, belum pasti menjadi kenyataan jika nasib pesawah kecil tidak dibela.

“Kami mengambil perhatian idea mewujudkan 50,000 hektar estet padi di kawasan Mada atas alasan mahu sama taraf dengan komiditi estet kelapa sawit.

“Kami berpendapat usaha itu belum tentu boleh meningkatkan pengeluaran jika petani tidak dililibatkan bersama,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Menurutnya, cadangan itu seolah-olah menjadikannya seperti Felcra dan petani hanya perlu menunggu untuk mendapat bayaran.

Beliau berkata, pengeluaran padi dalam negara belum mencapai kadar pengeluaran 70 peratus beras untuk sara diri (SSL) seperti yang disasarkan.

Sasaran Mada hasilkan pengeluaran  padi sejuta metrik tan pada 2015 juga belum tentu dapat dilakukan berterusan.

“Pesawah mengadu tahap pendapatan masih rendah akibat pengeluaran padi rendah yang dikaitkan dengan sistem pengairan yang lama tidak diperbaiki, kos input pertanian semakin meningkat serta insiden padi angin yang terus berlaku,” katanya.

Petani juga mengadu pengairan di kawasan Mada yang dibina sejak tahun 60-an semakin kecil dan mendap.

“Walaupun Mada merancang membina kepadatan kemudahan infrastruktur 30 meter sehektar, namun sistem pengairan dan kedudukan saliran air timbulkan masalah kepada pesawah,” katanya.

Mohd Azmi anggarkan negara alami kerugian RM55 juta akibat padi angin.

“Mada ditubuhkan pada 30 Jun 1970 sebagai agensi pembinaan infrastruktur industri padi Kedah dan Perlis di samping membangunkan ekonomi pesawah dalam bidang pertanian yang lain.

“Namun kadar pengeluaran padi belum capai tahap yang diharapkan manakala pesawah sering menyuarakan masalah kerja membaik pulih pengairan Mada yang kurang diberi perhatian,” katanya.

Katanya, walaupun Mada menyediakan bekalan air untuk 100,685 hektar sawah tetapi infrastruktur yang sedia melalui pembaharuan mungkin tidak mampu tampung keperluan pengeluaran yang lebih tinggi

“Kerajaan negeri dan pusat perlu memastikan kemajuan sektor pengeluaran padi dipertingkatkan. Keresahan petani perlu diambil kira kerana mereka lebih tahu kedudukan sawah kerana mengendalikan penanaman padi setiap musim,” katanya.

 Katanya, bajet  disalurkan kepada Mada sekitar RM2.47 bilion untuk industri padi perlu dipantau agar diguna untuk kepentingan pesawah.

“Pengeluaran padi di negara ini lebih tinggi dari Thailand bagi setiap hektar, namun kos input pertanian jauh lebih tinggi berbanding Thailand dan Vietnam. Untuk itu, semua pesawah Mada akan adakan himpunan pada 5 Mac ini untuk serah memorandum kepada kerajaan negeri, pusat dan Mada,"katanya.

Sumber: Sinar Harian