Torres del Paine, Chile |
Dunia ini menawarkan pelbagai keindahan sama ada dari segi landskap yang menawan mahupun aksi haiwan atau sekadar malam gelap bertatahkan bintang.
Bukan senang untuk memilih yang paling cantik apa lagi untuk sempat merakamkannya, namun berikut beberapa pemandangan yang berjaya dirakamkan lensa kamera yang membuktikan betapa untungnya kita menghuni bumi yang begitu indah ini.
1. Bukit pasir Sossusvlei, Namibia
Sossusvlei bererti ‘tempat air terkumpul’ tetapi di sini, baiklah bawa sendiri bekalan air jika mahu mengelak mati kehausan. Bukit pasir yang juga antara tarikan utama di Namibia terbentuk selama jutaan tahun hasil aliran dari Sungai Orange ke Lautan Atlantik yang dibawa ke utara sebelum dibawa semula ke daratan akibat ombak.
Mendaki bukit pasir di sini memang berbaloi kerana pemandangan yang menakjubkan menanti, termasuk Deadvlei, kawasan dipenuhi tanah liat putih yang dihiasi pokok tua.
2. ‘The great migration’ Afrika Timur
Boleh dikatakan migrasi haiwan terhebat di dunia, bayangkan uniknya menyaksikan puluhan ribu binatang liar merempuh dataran Afrika mencari makanan dan air sambil dikejar pemangsa yang turut mengambil kesempatan memburu.
Cara terbaik merasai pengalaman ini adalah mengikut pergerakan haiwan berkenaan setiap hari dan ada pakej pelancongan ditawarkan untuk kemudahan serta keselamatan pelancong.
3. Torres del Paine, Chile
Di tengah-tengah Patagonia, wujud glasier di celah gunung dan padang rumputnya, yang boleh dilihat dengan lebih dekat serta disentuh. Ini menjadikan Torres del Paine antara taman negara paling istimewa di dunia.
Bayangkan perasaan melihat ais di atas pantai - memang pengalaman lain daripada yang lain.
4. Mackenzie Basin, New Zealand
Sememangnya ini antara tempat terbaik untuk menikmati keindahan langit malam dipenuhi bintang.
Kawasan seluas lebih 4,000 kilometer persegi ini terletak di pulau selatan New Zealand merangkumi Taman Negara Mount Cook malah Mackenzie Basin juga baru-baru ini dijadikan tempat keempat tersenarai dalam Rizab Langit Gelap Antarabangsa seterusnya menjadikannya antara tempat terbaik di Bumi untuk mengkaji bintang.
5. Piramid dalam hutan, Palenque, Mexico
Piramid kaum Maya terletak di timur Mexico, tetapi sebenarnya di selatan negara itu wujud kawasan piramid golongan itu di Palenque.
Kuil di tengah hutan inilah yang menjadi inspirasi untuk filem ‘Raiders of the Lost Ark.’
6. Gunung berapi Thrihnukagigur, Iceland
Iceland sememangnya terkenal dengan hidupan liar dan keindahan alam semula jadinya. Tetapi lebih menarik lagi pada musim panas pengunjung mampu masuk ke dalam gunung berapi Thrihnukagigur yang tidak lagi aktif sejak 4,000 tahun lalu.
Pengunjung yang berminat dibawa melintasi padang berlahar sebelum turun kira-kira 120 meter menggunakan kereta kabel ke dalam gunung berapi. Ini hanya boleh dilakukan pada pertengahan Jun sehingga akhir Julai setiap tahun.
7. Djemaa el Fna, Marrakech, Maghribi
Dataran yang juga menjadi hab perniagaan di bandar lama Marrakech ini mula sibuk pada waktu petang, dengan penjinak ular, pemuzik, pelukis inai dan tukang ubat tradisional keluar mencari rezeki. Semuanya dapat dilihat dari kafe di tingkat atas.
Namun pada waktu malamlah tempat ini semakin hidup dengan pelbagai makanan dijual dengan harga yang begitu murah. Untuk pengalaman lebih lengkap, bolehlah menghuni ‘riad’ hotel tradisional di kawasan itu.
Sumber: myMetro