KERETA mewah BMW X6 yang dilarikan dua lelaki mengaku sebagai wakil seorang "Datuk". |
KUALA LUMPUR - Dua lelaki dipercayai menyamar sebagai wakil seorang Datuk untuk melarikan sebuah kenderaan mewah model BMW X6 bernilai lebih RM300,000.
Penjenayah itu dikesan memperdaya seorang ejen wanita dalam urusan pembelian kenderaan itu di Setapak di sini, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 29 tahun dikatakan menerima panggilan daripada seorang Datuk yang mendakwa berminat membeli kenderaan mewah itu.
Sumber polis berkata, mangsa kemudian mengatur temujanji dengan Datuk itu di sebuah stesen minyak di Sri Rampai, Setapak di sini.
“Bagaimanapun dua lelaki menaiki motosikal muncul dan mendakwa wakil kepada Datuk berkenaan.
“Selepas selesai perbincangan, rakan setugas wanita itu memandu BMW X6 berkenaan ke lokasi berhampiran untuk tujuan uji pandu dan pemeriksaan,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit yang memandu kereta mewah model Porche mengekori rakannya itu.
“Sebaik tiba di hadapan sebuah kedai di Setapak di sini, salah seorang suspek lelaki terbabit berpura-pura melakukan pandu uji terhadap BMW X6 itu sambil ditemani mangsa.
“Selepas membuat satu pusingan, suspek lelaki itu mengarahkan wanita keluar dari kenderaan sebelum rakannya mengambil alih tempat duduk,” katanya.
Dia berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa berbincang semula dengan Datuk itu sebelum beredar pergi tanpa membuat sebarang pembayaran.
Sumber berkata, ejen wanita itu kemudian cuba menghubungi nombor telefon bimbit Datuk terbabit, namun gagal.
“Susulan itu mangsa yang mengesyaki ditipu tampil membuat satu laporan di buat di Balai Polis Wangsa Maju di sini. Polis kini sedang berusaha menjejaki kenderaan mewah itu yang dipercayai masih berada di Lembah Klang,”katanya.
Sumber: myMetro