Kritik Terbuka, PAS Mungkin Ambil Tindakan Disiplin Terhadap Husam

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BAHARU – PAS tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa yang didakwa mengkritik parti secara terbuka berhubung isu hudud.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat PAS pusat pada 13 Feb ini.

“Dakwaan Husam mengatakan perbincangan hudud hanya membabitkan tiga individu dan tidak dimaklumkan kepada parti adalah tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa Exco negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

Husam sebelum ini dilaporkan menggesa Mohd Amar dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bertanggungjawab, termasuk mempertimbangkan meletak jawatan setelah gagal membawa usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964 di Parlimen, bagi membuka laluan untuk pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. – BERNAMA