Gambar Hiasan |
LANGKAWI - Pendapatan hasil daripada perbelanjaan pelancong di Langkawi disasar mencecah RM6 bilion tahun ini berbanding RM5.8 bilion pada tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli berkata, sasaran ini dibuat berdasarkan jangkaan peningkatan jumlah pelancong yang mengunjungi Langkawi sepanjang tahun ini serta ditambah dengan pengenalan produk-produk baharu dalam sektor tersebut.
"Sasaran pendapatan ini hanya berdasarkan perbelanjaan penginapan dan makan minum pelancong belum lagi mengambil kira perbelanjaan seperti tambang kapal terbang, belian persendirian dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan butik coklat, Chocohauz, di Oriental Village, di sini, hari ini.
Sementara itu, Khalid berkata, LADA merancang mengadakan promosi bersepadu untuk memasarkan Langkawi dalam kalangan pelancong tempatan. Promosi itu akan dijalankan bersama-sama anak syarikat LADA yang berkaitan dan pemain industri di Langkawi.
"Kita akan menjelajah ke seluruh Malaysia untuk mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di Langkawi khususnya produk-produk baharu yang kita baru perkenalkan," katanya.
Antara daya tarikan pelancong yang dipromosikan tahun ini termasuklah Chocohauz yang menawarkan produk coklat yang tidak terdapat di tempat-tempat lain, serta perkhidmatan kereta kabel yang ditambah baik, Sky Bridge, Inclinator dan Sky Dome.
"Untuk Oriental Village ini kita bercadang untuk menambah baik lagi kemudahan-kemudahan yang ada untuk menjadi taman tema eko terbaik di negara ini," katanya. - Bernama