Keadaan kereta terbabit yang ditarik naik oleh pasukan penyelamat. |
AYER HITAM - Seorang wanita maut setelah lemas akibat kereta yang dipandunya terbabas ke dalam tali air di Tandop C Jalan Lana Bulu, Ayer Hitam Kedah, semalam.
Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa berusia 37 tahun bersama seorang lelaki berusia 46 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan, memandu kereta jenis Proton Saga melarikan diri ke Pekan Kerpan setelah dikejar oleh kereta peronda polis.
"Setibanya di Tandop C Jalan Lana Bulu kereta dipandu wanita tersebut terbabas dan terjatuh ke dalam tali air yang mempunyai kedalaman kira-kira enam meter.
"Kedua-dua mereka berjaya keluar dari kereta dan lelaki tersebut berenang ke seberang sungai dengan niat melarikan diri manakala wanita terbabit yang tidak pandai berenang terkapai-kapai sebelum tenggelam ke dalam sungai,"katanya.
Lelaki itu ditahan anggota polis tidak jauh dari lokasi kejadian dan laporan dibuat di Balai Polis Ayer Hitam sebelum lelaki terbabit dibawa ke lokap Balai Polis Jitra.
"Lelaki yang bekerja sebagai petani itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
"Kira-kira jam 10.30 pagi semalam, anggota bomba menjumpai mayat wanita itu dan dibawa ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat manakala Proton Saga dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kubang Pasu untuk pemeriksaan,"katanya.
Sumber: Sinar Harian