Lelaki Gantikan Mata Dengan Kamera Transmiter Frekuensi Radio

KAMERA yang dipasang pada mata Spence.
Toronto - Seorang penerbit filem mengorak selangkah lagi untuk menjadi lelaki bionik selepas menggantikan mata batunya dengan kamera.

Rop Spence hilang sebelah matanya ketika berusia sembilan tahun. Dia cuba menembak selonggok najis lembu, tetapi tersilap melepaskan tembakan, menyebabkan dia hilang sebelah penglihatan.

Kini, pada usia 43 tahun, dia mengambil keputusan mengalihkan mata batu lamanya dan menggantikannya dengan kamera.

“Ramai yang berkata ia jenaka,” katanya.

Spence yang menggelar dirinya Eyeborg menjadi subjek dalam episod baru siri televisyen Dark Net. Siri berkenaan mengisahkan kehidupan sebenar subjek.

Menurut Spence, kamera mata itu membolehkan dia melakukan wawancara dengan lebih dekat tanpa gangguan kamera besar atau kru kamera.

Kamera mata itu kelihatan seperti mata palsu biasa. Yang membezakannya ialah ia kamera yang dilengkapkan dengan transmiter frekuensi radio.

Bagaimanapun, kamera itu tidak disambung pada deria optik, menyebabkan Spence tidak boleh menggunakannya untuk melihat. Sebaliknya, apa yang dilihat ‘mata’ itu boleh dilihat pada skrin yang dipegangnya. Ia juga boleh dipasang dan dipadam dengan satu sentuhan.

Satu-satunya kesan sampingan ialah apabila kamera mata itu digunakan untuk tempoh masa lama, ia mula panas.

Ini bermakna Spence boleh meletakkannya pada soket matanya kira-kira tiga minit sahaja.

Dia berharap, dalam masa terdekat nanti, kamera mata itu boleh merakam filem selama beberapa jam pada satu-satu masa. - Agensi