Lulusan SPM: Pemuda UMNO Bidas Pengkritik Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Pemuda UMNO Negeri Kedah mempertahankan status Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang sebelum ini diperlekeh oleh pihak tertentu tentang tahap akademik beliau yang berkelulusan SPM.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tokoh seperti Zaaba pun tidak memiliki sebarang ijazah, namun kemahiran beliau dalam bidang bahasa diberi pengiktirafan tinggi oleh Universiti Malaya.

"Pendeta Zaaba sendiri tidak mempunyai ijazah, namun komitmen tingginya dalam laras bahasa melayakkkan beliau diangkat selaku Pendita dan Ketua Jabatan Persuratan di Universiti Malaya di awal penubuhannya," katanya yang dipetik dari blog rasminya, bilashahabudinberbicara.blogspot.my.

Katanya, tokoh perniagaan terkenal negara seperti mendiang Loh Boon Siew yang memonopoli perniagaan motorsikal Honda memiliki tahap pendidikan yang rendah, namun berjaya menjadi 'taikun' dalam dunia perniagaan di negara ini.

"Apakah mendiang Tan Sri Loh Boon Siew perlu memiliki PhD dalam Economics, Business atau Finance Study untuk menjadi taikun perniagaan yang bertaraf bilionaire?," persoal beliau.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Syed Mohd Johan berkata, memiliki tahap pendidikan yang tinggi tidak bermaksud seseorang itu akan diterima masyarakat sebagai pemimpin kerana mereka perlu bergaul rapat, memahami dan sentiasa mengambil peduli tentang rakyat.

"Seorang yang memiliki PhD pun sekali jika tiada pengalaman, adalah mustahil untuk beliau berjaya di dalam dunia politik.

"Saya pernah menyaksikan seorang yang memiliki ijazah perundangan dan merupakan seorang peguam, namun kalah bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan.

"Dia kalah bukan kerana dia jahil ilmu, namun tewasnya dia adalah kerana kurang pengalaman, pergaulan, pengaruh dan ketinggalan dalam pelbagai perkara lagi," tulisnya lagi.

Syed Mohd Johan dipercayai menulis bagi menjawab tohmahan dan beberapa serangan yang memperlekeh Menteri Besar Kedah ke-12 itu yang dilemparkan oleh segelintir media pro bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir.

Tulisan beliau bagi menjawab persoalan itu boleh dibaca sepenuhnya di sini (Klik di sini). -Kedahnews.com