MADA Komited Bantu Tingkat Taraf Sosio Ekonomi Pesawah Di Kedah


ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah menjalankan pelbagai transformasi sejak 46 tahun lepas bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi pesawah di kawasannya, sekali gus membolehkan Kedah menjadi penyumbang terbesar padi negara, sebanyak 38 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (JPPPK) MADA, Mohd Musa Kamis berkata lembaga itu telah mengubah landskap industri padi di kawasan itu kepada industri yang bernilai tinggi selain mengurangkan peratusan miskin tegar dalam kalangan pesawah.

“Bermula dengan peratusan kemiskinan tegar 72 peratus dalam kalangan pesawah pada awal penumbuhan MADA, kini peladang yang berada di bawah paras miskin tegar telah dapat dikurangkan kepada paras satu peratus.

Pengurangan paras miskin tegar itu turut membolehkan peladang-peladang di kawasan MADA memperoleh pendapatan bersih purata berjumlah RM27,167 setahun pada tahun 2014 dan dijangka ia dapat ditingkatkan kepada RM48,000 setahun menjelang tahun 2020 hasil usaha yang dijalankan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Musa berkata bagi memastikan taraf sosial ekonomi peladang di kawasan MADA ditingkatkan, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) Projek Permulaan Ke-10 (EPP10) dengan memperuntukkan RM2.2 juta bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur pengairan dan penubuhan estet padi.

“Sehingga kini 14,212 peladang telah dilibatkan menyertai 496 projek estet padi seluas 25,326.5 hektar sejak dimulakan pada tahun 2011.

Projek ini telah memberi impak positif di mana pada musim 1/2015 purata hasil padi kawasan Estet Padi NKEA adalah sebanyak 6.526 tan sehektar melebihi purata hasil padi MADA iaitu sebanyak 6.25 tan sehektar,” kata Mohd Musa.

Katanya lagi, kerajaan turut merancang pelbagai usaha bagi meningkatkan kepadatan infrastruktur pengairan kepada 30 meter sehektar menjelang tahun 2020 yang mana dilihat mampu memberi manfaat yang sangat besar kepada peladang di kawasan MADA. – BERNAMA