Mahdzir Saran Pendidik Tingkat Kemahiran, Ilmu Teknologi Maklumat

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid
KUALA LUMPUR – Warga pendidik perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk meneroka idea baharu dalam dunia pendidikan, khususnya bidang teknologi maklumat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah itu perlu bagi menyediakan kondisi pembelajaran yang terbaik kepada murid-murid.

“Teknologi pendidikan berkembang pesat dan realitinya, murid kita lebih kehadapan dalam penggunaan teknologi terkini.

“Justeru sebagai pendidik, kita mestilah tiga langkah ke hadapan berbandingmereka,” katanya pada Majlis Anugerah Program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) dalam Virtual Learning Environment (VLE) sebagai platform pengajaran dan pembelajaran di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan II, Chong Sin Woon.

Jelas Mahdzir, konsep pembelajaran tanpa sempadan seperti e-pembelajaran berpotensi untuk merevolusikan pendidikan, selain mengurangkan kekangan fizikal pembelajaran tradisional.

Beliau berkata selain membolehkan konsep pembelajaran secara pengkomputeran diakses pada bila-bila masa, kaedah itu juga memudahkan murid untuk memperoleh sumber pendidikan secara fleksibel dan lancar.

Sehingga kini, seramai 5,000 warga pendidik telah menyertai program GM1M sebagai perintis kepada golongan guru untuk menambah baik kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis berkenaan, Chong berkata kementerian akan mengarahkan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyiasat insiden murid Tahun 1 yang maut akibat terjatuh dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Melaka, semalam.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati pihak pengurusan sekolah itu tidak mematuhi piawaian dan aspek keselamatan yang sewajarnya.

“Kita berasa sedih dengan insiden itu. Kementerian akan mengemukakan laporan selepas siasatan dijalankan,” katanya.

Semalam, seorang murid Tahun 1 dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di belakang Sekolah Rendah Agama Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, Melaka ketika bermain bersama beberapa rakannya pada waktu rehat.

Laporan media turut menyatakan lubang berkenaan hanya ditutup dengan bahan diperbuat daripada bekas gentian kaca.

Justeru, Chong mengingatkan pihak pengurusan sekolah untuk lebih sensitif dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan di sekolah. – BERNAMA