Mahdzir Tegur JPN, PPD, PGB Ganggu Masa Kualiti Guru Dan Keluarga

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid
ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegur pihak pengurusan sekolah di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pengetua dan Guru Besar (PGB) yang masih bertindak tidak wajar terhadap guru-guru di sekolah.

Beliau menerima banyak laporan dari guru-guru yang memaklumkan bahawa mereka masih lagi "diminta" bekerja pada hari Sabtu secara berturut-turut oleh pihak pengurusan walaupun tidakan itu sebenarnya dilarang pihak Kementerian Pendidikan.

"Terdapat guru yang menyalurkan maklumat kepada saya berkenaan tugasan yang perlu dilaksanakan pada hari Sabtu berturut-turut dalam tempoh sebulan yang sama.

"Berikut adalah SPI 8/2005 yang perlu dipantau dan dipatuhi oleh setiap JPN, PPD dan PGB," tulis beliau di laman Facebook rasminya dan memautkan pekeliling yang pernah dikeluarkan pihak kementerian sebelum ini.


Mahdzir dalam kenyataannya turut meminta supaya pihak pengurusan sekolah lebih prihatin dan mementingkan masa-masa berkualiti golongan guru untuk bersama keluarga.

"Kita hendaklah mengambil kira masa berkualiti guru-guru untuk diri sendiri dan keluarga," tulis beliau lagi.

Bagi golongan guru yang berhasrat meluahkan pandangan dan buah fikiran bagi membantu meningkatkan kualiti serta mengusul aduan-aduan sedemikian, mereka boleh menyertai ruangan forum warga pendidik di laman portal rasmi beliau, Tokdet.my. -Kedahnews.com