Mahkamah Tinggi Arah Adam Adli Bayar RM5,000 Atau Penjara 6 Bulan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan sabitan aktivis pembangkang, Adam Adli Abd Halim, dan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara 12 bulan bagi kesalahan memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramahnya tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman sebaliknya menggantikan hukuman penjara itu kepada denda RM5,000 terhadap Adam Adli, 28, bekas penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Ab Karim berkata beliau menolak rayuan terhadap sabitan itu kerana ungkapan Adam Adli itu merujuk secara langsung kepada badan yang dipertanggungjawabkan dalam mentadbir negara iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta 'mempunyai kecenderungan menghasut'.

Namun, mahkamah mendapati hukuman penjara itu agak keterlaluan selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan usia muda tertuduh dan menggantikannya dengan hukuman denda sahaja.

Pada 19 Nov 2014, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Adam Adli selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu pada akhir kes pembelaan.

Dia didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang ditubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim sebagai responden dalam kes ini, manakala Adam Adli diwakili peguam N. Surendran. - BERNAMA