Majlis Angkat Sumpah Exco Kerajaan Negeri Kedah Pada Isnin Ini

Istana Anak Bukit
ALOR SETAR - Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kedah dijadual dilangsungkan Isnin ini di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di sini.

Menurut surat jemputan media yang dihantar Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri semalam, majlis dijadual berlangsung pada pukul 9 pagi.

Acara mengangkat sumpah dan Pengurniaan Tauliah Pelantikan akan dilangsungkan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Pelantikan Exco itu selaras dengan perkara 37(2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Bagaimanapun sehingga kini, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah belum mengumumkan barisan exco baharu.

Beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 4 Feb, sehari selepas Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir meletak jawatan sebagai menteri besar berikutan kehilangan kepercayaan majoriti Adun. - Bernama