Mangsa Liwat Tampil Bidas Gerakan Bebaskan Peliwat

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Mangsa liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan keghairahan penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan mendesak kerajaan supaya membebaskan bekas Ketua Pembangkang itu dari penjara walaupun mahkamah telah membuktikan lelaki ‘dua alam’ itu bersalah kerana meliwat.

Mangsa liwat Anwar yang juga bekas pembantu peribadi beliau, Saiful Bukhari Azlan berkata, kempen membebaskan Anwar membuktikan pemimpin pembangkang golongan yang tidak takutkan Tuhan kerana sanggup mengelirukan dan menipu tentang fakta kes liwat yang dialaminya.

“Antara penipuan dan ‘spin’ yang mereka lakukan adalah seperti tuduhan palsu, (Anwar) tahanan politik, perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.

“Penipuan yang dilakukan ini bukan sahaja pada rakyat Malaysia, malah pada dunia. Amat malang lagi, tanpa rasa bersalah atau malu, penipuan ini disalurkan pada negara, kerajaan di luar negara, individu-individu berpengaruh, badan-badan dunia.

“Sehingga ada mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi “derma jutaan dollar” untuk kempen pembebasan Anwar, juga tekanan pada kerajaan untuk membebaskan beliau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Saiful Bukhari berkata, beliau tidak bersuara tentang kes itu selama ini kerana padanya, hukuman yang dikenakan ke atas Anwar oleh pihak mahkamah sudah cukup untuk memberi keadilan yang sewajarnya kepada beliau selaku mangsa liwat bekas ketua pembangkang itu.

Namun, kata beliau, tindakan pemimpin dan penyokong pembangkang yang semakin melampau dalam keghairahan mereka untuk membebaskan Anwar menyebabkan beliau terpanggil untuk memberi pandangan berhubung perkara itu.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Saiful Bukhari mengenai kempen membebaskan Anwar oleh Pakatan Harapan: -Kedahnews.com

SETAHUN BERLALU

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini genap setahun perbicaraan kes saya berakhir. Izinkan saya ulas beberapa perkara.

Dalam masa setahun ini, saya ambil maklum dengan gerakan/kempen oleh keluarga, penyokong dan pihak-pihak tertentu untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara. Namun saya mengambil pendekatan untuk tidak memberi reaksi, saya biarkan sahaja.

Saman fitnah dan tuntutan sebanyak RM50 juta yang difailkan beberapa tahun lalu pun saya hentikan. Selain dari faktor kos guaman, saya mengambil kira dari segi faktor kemanusiaan. Kerana pada hemat saya, sudah cukup buat saya apabila aduan saya telah diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan beliau pun telah dijatuhi hukuman. Saya mahu terus ke hadapan, tutup buku.

Namun, hari demi hari, saya lihat mereka ini semakin keterlaluan. Mereka bebas mengelirukan dan melakukan penipuan terhadap fakta kes saya.

Antara penipuan dan ‘spin’ yang mereka lakukan adalah seperti “Tuduhan Palsu”, “Tahanan Politik”, perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.

Penipuan yang dilakukan ini bukan sahaja pada rakyat Malaysia, malah pada dunia. Amat malang lagi, tanpa rasa bersalah atau malu, penipuan ini disalurkan pada Negara-Kerajaan di luar negara, Individu-Individu Berpengaruh, Badan-Badan Dunia sehingga ada mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi “Derma Jutaan Dollar” untuk kempen pembebasan AI, juga tekanan pada Kerajaan untuk membebaskan beliau.

Justeru, ingin saya nasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, hentikanlah penipuan ini. Cukup-cukuplah berdusta. Dari tahun 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takutlah pada Allah SWT. Kasihanilah pada mereka yang kamu tipu itu.

Pada pihak-pihak diluar yang mempercayai, terutama pada Negara-Negara dan Badan-Badan Antarabangsa, ingin saya maklumkan disini bahawa beliau bukan “Tahanan Politik”, sebaliknya adalah “Tahanan JENAYAH”. Tidak ada kena juga mengena dengan penindasan Demokrasi. Juga, hentikanlah memberi dana dan sokongan, kerana ia dusta belaka.

Beliau telah didakwa atas kesalahan jenayah, dibicara dan diadili oleh sejumlah 9 orang Hakim ( 1- Mahkamah Tinggi, 3 – Rayuan, 5 – Persekutuan) , di mana perbicaraan telah mengambil masa yang lama, lebih kurang 7 tahun.

Saya juga ambil maklum bahawa rata-rata mereka ini beri tekanan dari sudut “Human Rights”. Namun bagaimana pula dengan saya? Saya adalah pengadu dan mangsa dalam kes ini. Adakah saya ini bukan “human”/manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh Badan-Badan “Human Rights”?

Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh, berduit kaya raya.

Dan bukannya orang kecil seperti saya ini, tak kaya, tak ada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?

Apapun syukur selama ini saya ada Allah SWT. Dialah tempat saya berdoa, bergantung dan memohon bantuan.

8 tahun dulu, dari mula saya membuat laporan Polis hinggalah ke saat ini, apa yang saya mahukan sebagai pengadu adalah aduan saya sepertimana dalam laporan polis mengenai perlakuan Anwar Ibrahim terhadap saya disiasat dan diadili, tidak lebih dari itu. Tidak sesekali saya berasa kesal.

Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, setahun sudah berlalu. Semoga sihat dan tenang di sana. Gunakanlah tempoh muhasabah ini sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun bagi hamba-Nya yang benar-benar insaf. Sebagai bekas majikan, saya doakan yang terbaik.

Terus ke hadapan, istiqamah dan sabar.

SAIFUL BUKHARI AZLAN
10 FEBRUARI 2016