MB Kedah Ke-12 Dijangka Angkat Sumpah Rabu Atau Khamis Ini?


ALOR SETAR - Kemelut Menteri Besar Kedah yang hangat menjadi tumpuan seluruh negara dikatakan bakal berakhir tidak lama lagi apabila majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru dijangka bakal berlangsung sehari dua lagi.

Menurut sumber dalaman kami, majlis itu dijangka bakal berlangsung pada Rabu atau Khamis ini sekiranya Jemaah Pemangku Sultan Kedah mencapai keputusan dan memperkenan untuk berbuat demikian setelah bertemu dengan 19 Adun BN dan Speaker Dewan Undangan Negeri.

"Jika Jemaah Pemangku Sultan bersetuju, insyaAllah akan selesai dalam masa terdekat.. mungkin Rabu, mungkin Khamis, kita tunggulah keputusan dari Istana," kata sumber berkenaan.

Adun-Adun BN dan Speaker Dun mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah bermula jam 2 petang tadi seorang demi seorang dengan prosedur yang ketat.

Difahamkan bahawa 20 pemimpin BN berkenaan menjelaskan kepada Jemaah Pemangku Sultan tentang kedudukan sebenar dan alasan untuk menukar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dari terus menjawat jawatan Menteri Besar Kedah.

Sekiranya berlaku pertukaran jawatan Menteri Besar, dijangka individu yang bakal dilantik itu bakal menggalas tugas berat melaksanakan pelbagai perkara yang terkandung di dalam Aku Janji BN Kedah 2013 yang diguna pakai selaku manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dikatakan masih banyak belum terlaksana.

Selain itu, beliau turut dijangka perlu bekerja keras menyusun gerak kerja, hala tuju, strategi dan program berkaitan politik UMNO di negeri Kedah yang didakwa gagal dikawal serta dilaksanakan oleh Mukhriz selama hampir 3 tahun memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Sebelum ini, seramai 14 Ketua UMNO Bahagian dan pemimpin kanan UMNO Bahagian Jerlun mengadakan sidang akhbar mengumumkan pendirian hilang kepercayaan pada Mukhriz dan meminta Presiden BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya melakukan perubahan drastik bagi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar Kedah. -Kedahnews.com