Menyanyi 4 Lagu Berjaya Raih Sumbangan RM1.4 Juta

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr Adenan Satem membuat persembahan nyanyian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina (UCA) malam tadi. - Foto BERNAMA
SIBU – Empat buah lagu yang didendangkan eksklusif oleh Ketua Menteri Sarawak,  Tan Sri Dr. Adenan Satem sendiri berjaya meraih sumbangan hampir RM1.4 juta di sini Khamis malam.

Beliau tampil mengalunkan lagu malar segar Can’t Help Falling in Love (Elvis Presley), The Young Ones dan Travelling Light (Cliff Richard) serta Putus Sudah Kasih Sayang (P. Ramlee).

Nyanyian itu menerima sumbangan lebih 20 penderma daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan, individu perseorangan serta tetamu yang hadir majlis Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Bersatu (UCA).

Sumbangan itu akan digunakan untuk membantu pesakit buah pinggang dan diabetes. Nyanyian Adenan diiringi oleh band D’Cipta dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak,

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan, 72; berkata beliau memerlukan masa lima tahun lagi untuk menerajui Sarawak sebelum bersara.

“Faktor umur dan kesihatan tidak membenarkan saya untuk menerajui lebih daripada tempoh itu,” kata Adenan.

Namun sebelum bersara, beliau mahu rakyat memberinya mandat penuh untuk lima tahun lagi selaku ketua menteri untuk membolehkan beliau meneruskan tugas kepada rakyat dan negeri.

Beliau berkata dalam tempoh setahun selepas menjadi ketua menteri mulai 28 Februari tahun lalu, beliau telah melaksana 50 polisi kepada negeri dan akan melakukan lebih banyak lagi jika diberi peluang.

Adenan berkata kekayaan sebenar yang Sarawak miliki ialah perpaduan dan kepelbagaian di mana rakyatnya hidup bersama dan menghormati antara satu sama lain.

Turut hadir pada majlis itu isteri beliau Puan Sri Jamilah Anu; Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi; Konsul Republik Rakyat Cina di Kuching, Fu Ji Jun serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh. – BERNAMA