Mudahkan Rakyat, Saran Perda Bina Rumah Berkonsep Sewa Beli Di Pulau Pinang

Gambar Hiasan
BATU KAWAN - UMNO Pulau Pinang telah mengemukakan cadangan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) supaya membina rumah berkonsepkan sewa beli bagi memudahkan rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata inisiatif berkenaan diharap dapat dilaksanakan segera bagi projek-projek perumahan baharu Perda yang dirancang sepanjang tahun ini.

"Penghuni perlu bayar sewa pada kadar mampu milik pada peringkat awal dan dalam jangka masa panjang, jika mampu, mereka boleh beli dan sewa dibayar sebelum itu dikira sebagai deposit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, di sini Ahad.

Katanya, beliau difahamkan bahawa Perda mempunyai beberapa bidang tanah yang sesuai untuk memajukan projek perumahan berkonsep sewa beli itu antaranya di Nibong Tebal, Balik Pulau dan Tasek Gelugor.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya menggesa agar pihak pengurusan feri meningkatkan kekerapan perkhidmatannya berikutan rungutan penumpang bahawa mereka terpaksa menunggu sehingga dua jam untuk menggunakan pengangkutan itu. - BERNAMA