Mufti Perlis Dakwa Pihak Berkuasa Agama Johor Fitnah Beliau

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menuduh pihak berkuasa agama Islam Johor terlibat memfitnah beliau apabila menyenaraikannya sebagai individu yang “mengelirukan” dan melarangnya daripada berceramah di negeri itu.

Beliau menuduh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) termakan fitnah Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin Al-Ghari yang juga Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas dirinya.

Antara bentuk pengeliruan yang didakwa dilakukan Mohd. Asri ialah memfitnah institusi mufti dan memperlekehkan ulama bermazhab Syafie.

“Maklumat daripada individu ini diambil oleh sesetengah pihak untuk memfitnah orang lain. Wajarkah pihak KDN menggunakan individu yang seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Mohd. Asri yang sering menimbulkan kontroversi dalam isu akidah Islam memuat naik satu video ceramah agama Zamihan di laman Facebooknya yang mendakwa Mohd. Asri pernah menyatakan menziarahi kubur pada Hari Raya Aidilfitri merupakan satu perbuatan bidaah.

Video berdurasi kira-kira dua minit itu disusuli rakaman khutbah Mohd. Asri yang menyebut amalan menziarahi kubur semasa Hari Raya Aidilfitri tidak digalakkan oleh Islam kerana merosakkan suasana kegembiraan walaupun tidak menyatakan secara langsung ia satu amalan itu satu bidaah.

Mufti Perlis sebelum ini pernah menuduh Zamihan sebagai seorang pelampau agama kerana mudah mengkafirkan, menyesat dan mencerca individu lain.

Sementara itu, menjawab soalan dikemukan sebuah media propembangkang, Mohd. Asri mendakwa tindakan yang dilakukan oleh MAIJ ke atasnya sebagai memalukan.

“Ia adalah satu fitnah. Saya mencabar pihak pemfitnah itu membuktikannya. Saya rasa, mereka patut disaman fitnah,” katanya. – Kedahnews.com