Muhyiddin Enggan Mengaku Akan Bekerjasama Dengan DAP


KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan, enggan mengakui beliau akan bekerjasama dengan DAP bagi menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa mereka akan bekerjasama untuk tujuan itu adalah pandangan peribadi Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut.

“Merujuk laporan berita mengenai kenyataan,Kit Siang bahawa saya merupakan rekrut terbaharu beliau dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia, saya ingin menjelaskan bahawa kenyataan tersebut adalah pandangan peribadi beliau.

“Saya tidak pernah direkrut oleh sesiapapun,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Mynewshub.cc pada 14 Februari lalu melaporkab DAP mengumumkan parti itu akan mengadakan kerjasama dengan Timbalan Presiden UMNO dan pasukannya bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Kit Siang dipetik berkata, pada dasarnya terdapat tiga subjek yang menjadi persamaan diantara Muhyiddin dan UMNO Johor dengan DAP untuk menyerang Najib waktu ini iaitu dalam isu derma politik, 1MDB dan SRC International.

“Rekrut terkini untuk agenda (jatuhkan Najib) tidak lain iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) kerana mesejnya di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Pagoh bahawa perlu segera menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara yang gagal,” kata Kit Siang.

Kit Siang yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP menjelaskan, kerjasama dengan Muhyiddin dan UMNO Johor secara tidak langsung akan memberi ruang kepada DAP dan Pakatan Harapan memperluaskan penguasaannya di negeri itu. –Kedahnews.com